Beg sekolah berat: Laksanakan cadangan kajian segera - NUTP

Firdaus Azil
Februari 24, 2018 22:42 MYT
Penggunaan buku teks digital harus diperluaskan sebagai salah satu cara mengurangkan masalah beg sekolah berat dalam kalangan murid sekolah, kata NUTP. - Gambar fail
Kementerian Pendidikan diminta melaksanakan segala dapatan Kajian Penilaian Beg Berat Murid Sekolah secepat mungkin bagi membolehkan murid sekolah rendah melalui pembelajaran yang lebih berkesan.
Kata presiden Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan Malaysia (NUTP) Kamarozaman Abdul Razak, segala perkara positif untuk rakyat, murid-murid dan ibu bapa harus disegerakan.
"Sebab kita ke arah transformasi tindakan itu. Apabila ada apa-apa yang lambat, tindakan yang diambil pihak kementerian juga lambat. Kita mahu benda yang lebih positif kepada rakyat, murid dan ibu bapa disegerakan," katanya ketika dihubungi Astro AWANI hari ini.
Beliau berkata demikian ketika mengulas mengenai hasil kajian seperti yang diumumkan Timbalan Menteri Pendidikan Datuk P. Kamalanathan semalam, yang mengakui bahawa beg sekolah yang dibawa oleh murid sekolah ternyata berat.
"Kajian juga mencadangkan bagaimana sekolah perlu mengikuti standard antarabangsa yang menetapkan tahap tertentu beban beg yang sepatutnya bagi seorang murid seperti berdasarkan umur dan berat badan murid tersebut," katanya lagi.
BACA: Laporan kajian penilaian beg berat telah dibentang
BACA: Beg murid sekolah memang berat, maka apa langkah seterusnya?
Selain itu, Kamarozaman berkata NUTP mencadangkan agar subjek bagi sekolah rendah dikurangkan supaya guru dapat meluangkan lebih masa untuk meningkatkan pemahaman murid-murid dalam sesuatu subjek.
"Kementerian tidak perlu banyakkan topik dalam sukatan mata pelajaran. Di sekolah rendah, topik tak perlu banyak. Yang penting dia boleh aplikasinya dalam kehidupan.
"Apabila sukatan terlalu tepu, penerbit buku teks terpaksa menggunakan banyak helaian, banyak gambar contohnya. Jadi bertambah berat buku teks. Bila buku teks berat, beg sekolah pun tambah berat," katanya lagi.
Kamarozaman berkata, seharusnya penggunaan buku teks digital diperluaskan lagi sebagai salah satu cara mengurangkan masalah beg sekolah berat ini.
Ditanya tentang cadangan penggunaan lokar diperluaskan di sekolah rendah, Kamarozaman berkata ia sememangnya berkesan, namun beliau akui kementerian sendiri tiada peruntukan untuk menyediakan kemudahan berkenaan di setiap sekolah.
"Untuk lokar, mungkin ibu bapa juga boleh memainkan peranan dalam menyediakan lokar, seperti memberi sumbangan kepada pihak sekolah, atau kepada tender melalui Persatuan Ibu Bapa dan Guru," katanya lagi.
#Astro Awani #beg sekolah berat #guru #Malaysia #menteri #p kamalanathan #pendidikan #presiden #rakyat #sekolah
;