Beg murid sekolah memang berat, maka apa langkah seterusnya?
Bernama
Februari 23, 2018 18:40 MYT
Februari 23, 2018 18:40 MYT
Timbalan Menteri Pendidikan Datuk P. Kamalanathan memberitahu, laporan akhir Kajian Penilaian Beg Berat Murid Sekolah mengakui bahawa beg sekolah yang dibawa oleh murid ternyata berat.
Beliau menambah, Menteri Pendidikan Datuk Seri Mahdzir Khalid telah diberikan penerangan secara spesifik mengenai dapatan kajian tersebut yang dibentangkan oleh Bahagian Buku Teks.
“Kajian juga mencadangkan bagaimana sekolah perlu mengikuti standard antarabangsa yang menetapkan tahap tertentu beban beg yang sepatutnya bagi seorang murid seperti berdasarkan umur dan berat badan murid tersebut,” katanya ketika ditemui pemberita pada majlis perasmian Karnival Sukan Antara Universiti di Universiti Putra Malaysia (UPM) di sini hari ini.
Beliau turut mencadangkan, murid hanya membawa buku mengikut jadual pembelajaran harian, manakala buku latihan atau bahan pembelajaran lain tidak perlu dibawa setiap hari.
Datuk P. Kamalanathan turut menegaskan, pihak kementerian tetap tegas bahawa murid tahun satu, dua, dan tiga perlu membawa beg yang ringan.
“Semua guru besar telah dimaklumkan bahawa murid sekolah rendah hanya perlu membawa buku-buku mengikut jadual harian dan guru-guru diingatkan supaya membantu murid-murid meringankan beban beg yang dibawa ke sekolah,” katanya.
Isu beg berat mendapat perhatian khusus Mahdzir yang mengarahkan satu kajian segera dilakukan kementerian bagi membolehkan masalah yang menjadi rungutan ibu bapa itu ditangani dengan lebih berkesan.
— BERNAMA
#beg berat
#beg sekolah
#Datuk P Kamalanathan
#Datuk Seri Mahdzir Khalid
#Kementerian Pendidikan
#murid sekolah
#Sekolah Kebangsaan
#Universiti Putra Malaysia