Bedilan meriam tanda berbuka puasa di Pekan
Bernama
April 28, 2020 11:43 MYT
April 28, 2020 11:43 MYT
Bedilan meriam sebanyak satu das bagi menandakan masuk waktu Maghrib dan berbuka puasa sepanjang Ramadan adalah tradisi unik diamalkan di Bandar Diraja ini.
Ketua Polis Daerah Pekan Superintendan Mohd Razli Mohd Yusof berkata tradisi menembak meriam itu dimulakan sejak lebih 40 tahun lepas dengan menggunakan dua laras meriam jenis Bavaria Gun M635 dari Jerman yang setiap satu seberat 415 kilogram.
"Tradisi menembak meriam dipercayai bermula disebabkan ramai penduduk pada waktu dahulu tidak mempunyai radio dan kedudukan rumah yang jauh dari masjid menyebabkan mereka sukar untuk mengetahui jika sudah masuk waktu maghrib.
"Kedudukan meriam yang dihalakan ke arah Istana Abu Bakar juga adalah tradisi kerana dahulunya ia sebagai pemakluman waktu berbuka kepada Sultan Pahang yang bersemayam di situ dan bunyi tembakan boleh didengar sejauh satu kilometer," katanya di sini.
Mohd Razli berkata dua laras meriam itu digunakan secara bergilir sepanjang bulan Ramadan, dengan tugasan menembak dilakukan oleh empat anggota daripada cawangan persenjataan Ibu Pejabat Polis Daerah Pekan.
Selain tembakan berbuka puasa, Mohd Razli berkata tembakan satu das juga dilepaskan untuk memaklumkan penduduk bermulanya bulan Ramadan dan pengisytiharan Aidilfitri, yang dibuat selepas pengumuman oleh Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja.
"Lazimnya kami akan membuat percubaan seminggu sebelum jangkaan tarikh puasa bagi memastikan meriam berada dalam keadaan baik dan akan diselenggara selepas pengisytiharan raya sebelum disimpan untuk kegunaan tahun hadapan," katanya.
Sementara itu, Koperal Mohd Zahri Ab Rahman yang ditugaskan melepaskan tembakan meriam itu sejak tahun 2003 berkata persiapan akan dibuat 10 minit sebelum masuk waktu Maghrib dan akan melepaskan tembakan terlebih dahulu sebelum berbuka puasa.
"Saya diajar begitu oleh anggota sebelumnya supaya penduduk tidak lewat untuk berbuka. Tambahan pula, tugasan ini hanya mengambil masa beberapa saat, jadi kami yang bertugas juga tidak lambat sebenarnya untuk berbuka," katanya.
Mohd Zahri berkata dua anggota akan melakukan tugasan itu setiap hari dan mereka akan membawa dua butir peluru sebagai 'persediaan' memandangkan pernah berlaku tembakan yang dilepaskan tidak mengeluarkan bunyi. - BERNAMA