Bedah siasat mangsa pesawat ringan terhempas di Klang dijangka selesai petang ini - Polis
Ridauddin Daud
Februari 14, 2024 11:08 MYT
Februari 14, 2024 11:08 MYT
KLANG: Proses bedah siasat dua mangsa nahas pesawat terhempas di Kampung Tok Muda, Kapar, di sini, pada Selasa, dijangka selesai petang ini.
Ketua Polis Daerah Klang Utara, Asisten Komisioner S Vijaya Rao berkata, beliau sudah meminta Jabatan Patologi Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) untuk menyegerakan proses tersebut.
Menurutnya, setakat ini pihak hospital sedang melakukan bedah siasat dengan cap jari daripada keluarga mangsa juga telah diambil pagi tadi.
“Pengesahan semua kemudian, sekarang dalam proses ‘post mortem’ sedang dijalankan, proses cap jari.
Bila dah ‘confirm’ 100 peratus, baru saya boleh sahkan.
“(Boleh selesai petang ini ke?) Petang ini… haraplah. Secepat mungkinlah, harap petang ini.
“Kita akan cuba sebaik mungkin. Saya sudah bincang dengan patologi untuk segerakan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui media di luar Jabatan Forensik Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) di Klang pada Rabu.
Terdahulu, Astro AWANI melaporkan beberapa waris kepada mangsa tragedi pesawat terhempas di Kapar tiba di Jabatan Forensik HTAR pada pagi Rabu.
Waris pertama, dipercayai keluarga pembantu juruterbang, Roshaan Singh Raina dilihat tiba di hadapan bangunan jabatan pada jam 8.10 pagi.
Seorang lelaki warga emas dan seorang wanita dilihat berada dalam sebuah kereta berwarna kelabu bernombor pendaftaran negeri Johor.
Selang 15 minit kemudian, waris kepada juruterbang, Daniel Yee Hsiang Khoon pula dilihat tiba di luar Jabatan Forensik HTAR.
Semua waris dilihat keluar meninggalkan bangunan tersebut bermula jam 9.30 pagi dan difahamkan kini berkumpul di lokasi disediakan pihak hospital.
Pada Selasa, sebuah pesawat ringan model BK 160 Gabriel terhempas di Kampung Tok Muda, Kapar, Klang.
Kedua-dua mangsa pesawat berkenaan ditemukan berada di dalam kokpit pesawat pada kedalaman 1.52 meter di dalam tanah.
Mangsa pertama berjaya dikeluarkan pada pukul 7.06 malam disusuli mangsa kedua 11 minit kemudian.