Bedah siasat dapati tahanan mati akibat serangan jantung - Ketua Polis Selangor

Umavathi Ramayah
Mei 21, 2021 15:51 MYT
Arjunaidi Mohamed memberitahu, laporan itu dikeluarkan oleh Jabatan Forensik, Hospital Kuala Lumpur (HKL) selepas proses bedah siasat yang mengambil masa hampir empat jam, hari ini. - Gambar fail/BERNAMA
KUALA LUMPUR: Laporan bedah siasat ke atas seorang tahanan yang mati di Ibu Pejabat Daerah (IPD) Gombak pada Khamis mendapati kematiannya disebabkan arcute myocardial infarction atau serangan jantung.
Ketua Polis Selangor, Datuk Arjunaidi Mohamed berkata, laporan itu dikeluarkan oleh Jabatan Forensik, Hospital Kuala Lumpur (HKL) selepas proses bedah siasat yang mengambil masa hampir empat jam, hari ini.
Bagaimanapun, beliau memberitahu, pihaknya menyerahkan kepada Mahkamah Koroner untuk menjalankan inkues bagi mengenal pasti punca kematian lelaki itu.
Beliau menjelaskan, lelaki berusia 43 tahun itu dibawa ke IPD Gombak, bukan untuk dilakukan siasatan sebaliknya, ia berhubung waran tangkap yang dikeluarkan oleh mahkamah.
"Ingin saya jelaskan di sini, si mati dibawa ke IPD (Gombak) bukan untuk tujuan siasatan sebaliknya berhubung waran tangkap.
"Proses itu adalah untuk memberi jaminan polis untuk dia hadir ke mahkamah, siasatan kes membabitkan si mati sudah selesai 2016 lagi," katanya pada sidang media secara dalam talian di sini, pada Jumaat.
Menjelaskan lanjut, Arjunaidi berkata, polis mengesan mendiang di sebuah kilang dan mengikut polis ke IPD Gombak atas persetujuannya.
Beliau turut memaklumkan, suspek tidak digari memandangkan dia memberi kerjasama penuh kepada polis.
Namun begitu, katanya, kira-kira pukul 11.40 pagi, lelaki itu mengalami sesak nafas sebelum polis menghubungi pasukan paramedik Hospital Selayang untuk bantuan kecemasan.
"Namun demikian, kakitangan hospital yang tiba mengesahkan lelaki itu sudah mati dan mayatnya dibawa ke hospital untuk proses bedah siasat," jelasnya.
Arjunaidi turut menjelaskan, keterangan daripada keluarga mendiang juga mengesahkan si mati mempunyai sejarah sesak nafas dan sakit jantung.
"Walau bagaimanapun, kita serahkan kepada pihak berwajib, kita akan serahkan kepada Mahkamah Koroner untuk jalankan inkues bagi mengenal pasti punca kematian.
"Biar pihak mahkamah tentukan, kita serahkan kepada mahkamah," katanya.
#Ketua Polis Negara #Arjunaidi #Polis Diraja Malaysia #IPK Selangor #tahanan mati #IPD Gombak #serangan jantung #Hospital Kuala Lumpur