Beberapa sistem operasi AKPK dinyahaktif buat sementara waktu bagi cegah risiko selanjutnya

Bernama
Mac 30, 2023 00:03 MYT
Baru-baru ini, pelayan AKPK yang mengandungi data pelanggan mungkin telah diakses secara haram.
KUALA LUMPUR: Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK) memutuskan untuk menyahaktifkan beberapa sistem operasinya buat sementara waktu untuk mencegah risiko selanjutnya selepas pencerobohan terhadap sistem teknologi maklumatnya (IT) baru-baru ini.
Baru-baru ini, pelayan AKPK yang mengandungi data pelanggan mungkin telah diakses secara haram.
"AKPK memohon maaf atas kejadian ini. Kami akan mengembalikan operasi sistem secara beransur-ansur sebaik sahaja selamat untuk berbuat demikian," katanya dalam kenyataan hari ini.
AKPK berkata pada masa ini, pihaknya telah melaksanakan pengaturan operasi yang sesuai supaya pelanggan masih boleh mendapatkan perkhidmatan daripada kami selancar yang mungkin.
AKPK memberi keutamaan yang tinggi untuk menangani situasi tersebut dan bekerjasama dengan pihak berkuasa yang berkaitan secara berterusan.
"Berikutan pencerobohan terhadap sistem IT kami yang berniat jahat dan bersifat jenayah, kami telah memaklumkan kepada pihak berkuasa, mengambil langkah-langkah untuk melindungi pelayan kami dan memulakan penyiasatan dengan pakar keselamatan siber pihak ketiga yang terkemuka," katanya.
AKPK berkata pihaknya menerima dan menolak permintaan tebusan, tindakan yang dipersetujui oleh pihak berkuasa berkaitan dan para pakar.
AKPK akan terus berusaha untuk mengurangkan kesan pencerobohan ini demi melindungi data para pelanggan.
Untuk maklumat lanjut, pelanggan AKPK boleh menghubungi pusat panggilan khusus AKPK di talian 03-2616 7766 atau klik https://bit.ly/pejabatAKPK untuk mencari cawangan AKPK yang terdekat.
-- BERNAMA
#AKPK #sistem operasi #sistem pelayan #godam #perkhidmatan
;