Beberapa projek infrastruktur P. Pinang akan dijalankan tahun ini

Bernama
Januari 1, 2020 05:18 MYT
KON YEOW: Semua projek infrastruktur ini dijangka bermula tahun ini, dan jika kerja tidak bermula, menandatangani perjanjian dan proses tender juga akan dijalankan.
Kerajaan negeri Pulau Pinang menganggap tahun 2020 adalah tahun yang penting bagi negeri itu kerana beberapa projek infrastruktur negeri akan dijalankan dalam tempoh 12 bulan akan datang.
Ketua Menteri Chow Kon Yeow berkata antara projek yang akan bermula tahun ini adalah projek pembesaran Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang, pembangunan semula Terminal Kapal Persiaran Swettenham Pier dan pakej kedua Pelan Induk Pengangkutan Pulau Pinang (PIP).
"Semua projek infrastruktur ini dijangka bermula tahun ini, dan jika kerja tidak bermula, menandatangani perjanjian dan proses tender juga akan dijalankan," katanya kepada pemberita selepas melepaskan peserta City Walk 1.1.2020 di sini pada Rabu.
Beliau berkata projek berkenaan akan merangsang ekonomi negeri dengan menyediakan lebih banyak pekerjaan dan kontrak dalam sektor yang berkaitan.
Chow berkata projek infrastruktur ini akan menarik lebih banyak pelaburan ke negeri ini.
"Apa yang kami umumkan pada tahun lepas mungkin akan memasuki fasa pembinaan tahun ini, sebelum pekerjaan dapat diwujudkan," katanya.
Chow yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Padang Kota berkata kerajaan negeri tiada apa untuk disembunyikan mengenai projek PIP yang menghubungkan Bandar Baru Air Itam di Farlim ke Lebuhraya Tun Dr Lim Chong Eu di sini.
Beliau menjelaskan semua perincian projek itu telah dimasukkan dalam paparan Penilaian Kesan Alam Sekitar (EIA) termasuk 19 kubur yang terjejas di tanah perkuburan Batu Lanchang.
"Saya tiada apa-apa untuk sembunyikan mengenai projek ini dan semuanya dipaparkan dalam EIA. Jika orang ramai tidak menyedarinya, apa yang kami boleh lakukan? Hanya mereka (Gerakan) mengambil masa lama untuk mengetahuinya," katanya.
Chow mengulas mengenai dakwaan Gerakan bahawa kerajaan negeri menyembunyikan fakta itu kerana ia tidak disebut sebelum ini yang projek tersebut menjejaskan 19 kubur di Bantu Lanchang.
Isnin lepas, kerajaan negeri mengumumkan beberapa mesyuarat diadakan dengan United Hokkien Cemeteries Penang di Batu Lanchang untuk membincangkan status beberapa kubur yang berusia lebih 100 tahun yang terjejas dalam projek itu.
-- BERNAMA
#Chow Kon Yeow #Ketua Menteri #Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang #pembangunan infrastruktur #PIP #projek pembangunan #pulau pinang #terminal kapal persiaran swettenham
;