Beberapa program baik KBS akan diteruskan - Syed Saddiq
Wan Syamsul Amly
Julai 3, 2018 11:23 MYT
Julai 3, 2018 11:23 MYT
Kementerian Belia dan Sukan (KBS) akan meneruskan program-program baik yang dilakukan kementerian itu sebelum ini seperti Hari Sukan Negara dan Fit Malaysia.
Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abd Rahman menjelaskan, ia berdasarkan laporan mengenai Petunjuk Prestasi Utama (KPI) termasuk melibatkan kos yang mungkin perlu ditambah baik pada masa hadapan.
"Sebab itu kita hendak tunggu laporan penuh daripada kementerian mengenai kos dan KPI program terdahulu.
"Saya tidak mahu kementerian ini fokusnya adalah mencari kesalahan dan kesilapan pemimpin yang lama.
"Kesalahan harus diperbaiki tetapi fokus utama paling penting adalah jalan penyelesaian. Rakyat mahu lihat apa yang kita bentangkan kepada mereka," katanya kepada media selepas mengetip kad perakam waktu di kementeriannya di sini, hari ini.
Syed Saddiq juga mahu mendemokrasikan sukan sebagai satu keluarga dan meletakkan anak muda untuk menentukan kejayaan kerajaan masa kini.
Katanya, ia berdasarkan kerjasama dengan beberapa kementerian berkaitan dalam isu peluang pekerjaan, rumah mampu milik dan perkara berkenaan belia.
Dalam pada itu, Syed Saddiq menjelaskan tidak memberi tumpuan utama kepada mana-mana sukan spesifik namun memastikan setiap sukan tidak dipinggirkan.
Katanya, pada zaman teknologi ini, e-sukan juga seharusnya diberi tumpuan selain pembangunan perisian yang dilihat antara fokus yang membantu setiap lapisan masyarakat.
Dalam mengulas isu program Podium, Syed Saddiq menjelaskan ia akan melibatkan perbincangan bersama atlet berkemahiran tinggi dan mencari penyelesaian dalam isu melibatkan bekas olahragawan dan olahragawati yang mungkin kebajikan mereka tidak dijaga dengan baik.
Program Podium adalah program persediaan atlet elit berdedikasi negara di bawah Institut Sukan Negara (ISN) dengan objektif keseluruhan untuk mencapai kecemerlangan sukan untuk negara.
#fit malaysia
#Hari Sukan Negara
#KBS
#kerjasama
#Khairy Jamaluddin
#KPI
#Syed Saddiq Syed Abd Rahman