Beberapa pengumuman penting mengenai 5G akan diumum hujung April atau awal Mei - Fahmi
Bernama
April 21, 2024 23:55 MYT
April 21, 2024 23:55 MYT
KUALA LUMPUR: Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil berkata beberapa pengumuman penting mengenai rangkaian 5G dijangka diumumkan pada hujung bulan ini atau awal Mei.
Fahmi berkata beliau dijadualkan bertemu Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim esok antaranya untuk membincangkan perkara yang perlu dilaksana bagi memastikan kadar penggunaan rangkaian itu terus mencapai tahap yang suai manfaat atau sesuai dengan perkhidmatan yang telah disediakan.
Beliau berkata pertemuan itu turut membabitkan Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz, Menteri Digital Gobind Singh Deo serta Pengerusi Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Tan Sri Mohamad Salim Fateh Din.
"Insya-Allah dalam masa terdekat, harapan saya menjelang hujung bulan ini atau awal bulan depan, kita akan ada beberapa pengumuman penting dan besar mengenai rangkaian 5G.
"Saya harap dengan adanya perkhidmatan 5G ini, rakyat akan mendapat manfaatnya," kata beliau ketika berucap di Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri Lembah Pantai 2024 di IWK Eco Park@Lembah Pantai malam ini.
-- BERNAMA