Beberapa pemimpin kanan politik adakan pertemuan dengan Dr Mahathir

Firdaus Azil
Februari 25, 2020 12:38 MYT
Kelihatan kenderaan yang dipercayai membawa Muhyiddin memasuki bangunan Perdana Putra hari ini. --fotoBERNAMA
Beberapa pemimpin kanan parti politik dilihat memasuki Bangunan Perdana Putra sejak jam 10 pagi ini, difahamkan untuk mengadakan pertemuan dengan Tun Dr Mahathir Mohamad.
Antara yang kelihatan ialah Ahli Parlimen Pandan Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, yang juga Timbalan Perdana Menteri dalam kerajaan Pakatan Harapan sebelum ini, pada pukul 10.24 pagi ini.
Turut dilihat, Presiden PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim, Presiden Bersatu Tan Sri Muhyiddin Yassin, Presiden UMNO Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dan Menteri Besar Terengganu Dr Ahmad Samsuri Mokhtar.
Turut mencuri tumpuan media ialah kehadiran bekas Timbalan Presiden PKR yang juga bekas Menteri Hal Ehwal Ekonomi Datuk Seri Mohamed Azmin Ali, serta Ahli Parlimen Sembrong Datuk Seri Hishammuddin Hussein.
Dua pemimpin ini sebelum ini dilaporkan merupakan perancang utama dalam usaha menggabungkan beberapa parti politik dominan, dalam usaha membentuk kerajaan baharu.
Terdahulu, Dr Mahathir, yang memulakan hari pertama sebagai Perdana Menteri Interim, dilihat memasuki Bangunan Perdana Putra seawal 9.30 pagi.
Hanya Anwar sahaja yang dilihat memasuki pintu utama, manakala pemimpin politik lain memasuki bangunan menerusi pintu berlainan.
#Anwar Ibrahim #Azmin Ali #Hishammuddin Hussein #kerajaan #Mahathir Mohamad #Muhyiddin Yassin #Perdana Menteri #Perdana Putra #politik #Putrajaya #Wan Azizah Wan Ismail #Zahid Hamidi
;