Beberapa pelajar SMK Melor cedera akibat tangki air pecah
Bernama
Ogos 9, 2022 16:58 MYT
Ogos 9, 2022 16:58 MYT
KOTA BHARU: Beberapa pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Melor di Ketereh, di sini cedera selepas tangki air sekolah itu pecah lalu menimpa laluan pejalan kaki dalam kejadian hari ini.
Menteri Kanan Pendidikan Datuk Radzi Jidin berkata kesemua pelajar terlibat telah dibawa ke hospital untuk mendapatkan rawatan lanjut.
"Sejurus selesai sesi menjawab pertanyaan lisan di Dewan Negara sebentar tadi, saya menerima berita mengenai kejadian tangki air pecah di SMK Melor Ketereh dan dimaklumkan beberapa orang murid mengalami kecederaan.
"Mereka telah dibawa ke hospital untuk mendapatkan rawatan lanjut. Sama-sama kita doakan agar mereka yang terlibat insiden ini diberikan kesembuhan dan dipermudahkan segala urusan," katanya menerusi hantaran di Facebooknya hari ini.
Radzi berkata susulan insiden itu beliau telah mengarahkan Jabatan Pendidikan Negeri Kelantan melaksanakan kerja pembaikan dan penyelenggaraan tangki air di sekolah tersebut dalam kadar segera.
"Ini bagi memastikan fasiliti dan infrastruktur sekolah berkenaan sentiasa berada dalam keadaan baik serta selamat untuk kegunaan warga sekolah," katanya.
--BERNAMA