Beberapa negara lahirkan minat untuk melabur di Borneo

Bernama
September 2, 2018 15:04 MYT
DARELL: Ia bukan sekadar pelaburan baharu tetapi juga menambah pelaburan sedia ada.
Beberapa negara menyatakan minat untuk melabur di Malaysia terutama di Borneo, demikian didedahkan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Darell Leiking.
Tanpa menyatakan negara dan industri yang mereka ingin terokai, Darell berkata, ia bukan sekadar pelaburan baharu tetapi juga menambah pelaburan sedia ada.
"Mereka berminat untuk melabur terutamanya di sempadan Borneo yang menghubungkan Indonesia dan Brunei," katanya kepada Bernama pada sesi rangkuman di sini.
Borneo dikongsi oleh dua negeri Malaysia iaitu Sabah dan Sarawak, serta Kalimantan, Indonesia dan Brunei.
Sabah, Sarawak and Wilayah Persekutuan Labuan mempunyai penduduk seramai 19 juta.
Darell berada di sini bagi mengetuai delegasi Malaysia ke negara ini selama lima hari menghadiri Mesyuarat Menteri Ekonomi ASEAN (AEM) ke-50 dan Mesyuarat Berkaitan yang berakhir hari ini.
Darell juga bersetuju bersama negara BIMP-EAGA untuk menggunakan platform itu bagi membawa lebih banyak pelaburan yang seterusnya mencipta peluang pekerjaan di Borneo terutama Sabah dan Sarawak.
Perkara itu dibincangkan dengan mendalam bersama perwakilan Brunei dan pernah dibangkitkan ketika lawatan Darell bertemu Menteri Perdagangan Indonesia, Enggartiasto Lukita, di Jakarta baru-baru ini.
BIMP-EAGA adalah Kawasan Pertumbuhan Asia - Brunei, Indonesia, Malaysia dan Filipina yang dilancarkan pada 1994.
Di sebalik jadualnya yang ketat, Darell berkesempatan mengadakan beberapa mesyuarat dua hala dengan rakan sejawatannya dari Singapura, New Zealand, Australia, Jepun, India serta Kanada .
Darell juga mengadakan perjumpaan dengan Timbalan Wakil Perdagangan Amerika Syarikat untuk Asia, Eropah, Timur Tengah dan Daya Saing Industri, Jeffrey D. Gerrish.
Bagi pakatan 10 negara, Darell berpendapat bahawa, dengan memiliki "jenama penyatuan tunggal" seperti kenderaan ASEAN, boleh bertindak sebagai pemangkin bagi kumpulan berkenaan untuk bergerak ke hadapan.
"Kita mungkin boleh bermula dengan kenderaan terlebih dahulu dan keseluruhan industri automotif di rantau ini yang termasuk rantai bekalan yang akan berhubung dan seterusnya membangun bersama," katanya dan menambah "kita mungkin mempunyai komponen, perkhidmatan dan penyelenggaraan yang lebih murah."
Dalam lawatannya ke Jakarta pada Jun lalu, Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, menunjukkan kemungkinan menghidupkan semula cadangan projek kereta Malaysia-Indonesia untuk pasaran ASEAN.
Idea itu timbul apabila Presiden Indonesia, Joko Widodo, melawat Pusat Kecemerlangan Proton pada lawatannya ke Malaysia pada 2015 dan berpeluang dibawa mengadakan ujian trek di trek ujian Proton oleh Dr Mahathir yang pada waktu itu adalah Pengerusi Proton.
Menurut sumber industri, perbincangan sudah dimulakan di peringkat teknikal untuk membuahkan hasil bagi projek berkenaan.
-- BERNAMA
#Borneo #Darell Leiking #pelaburan #Sabah #Sarawak
;