Beberapa mayat ditemukan, satu oleh TLDM, kata Laksamana AS
Bernama
Ogos 22, 2017 22:48 MYT
Ogos 22, 2017 22:48 MYT
Pemerintah Armada Pasifik Amerika Syarikat (AS) Laksamana Scott Swift hari ini berkata beberapa mayat telah dijumpai dan satu daripadanya oleh Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM).
"Tentera Laut Diraja Malaysia melaporkan mereka menemukan sesuatu yang berpotensi sebagai mayat. Mereka sedang berusaha mengesahkan dan mengenal pasti mayat berkenaan," katanya dalam laporan terkini mengenai keadaan di atas kapal USS John S McCain susulan pelanggarannya dengan sebuah kapal dagang di perairan berhampiran.
Swift berkata Tentera Laut AS sedang dalam proses memindahkan mayat itu agar pihaknya boleh memulakan proses pengecaman dan menentukan sama ada mayat berkenaan adalah seorang daripada 10 kelasi kapal pemusnah milik Tentera Laut AS, USS John S McCain, yang terlibat dalam pelanggaran dengan kapal tangki minyak, Alnic MC, pada awal pagi Isnin.
Katanya beberapa mayat juga ditemukan penyelam pasukan Tentera Laut AS di ruang terkedap USS John S McCain dalam operasi mencari hari ini.
Beliau bagaimanapun berkata adalah terlalu awal untuk mengatakan tentang jumlah dan status penemuan mayat berkenaan.
Swift enggan mengulas tentang punca pelanggaran itu kerana menurutnya siasatan "masih di peringkat terlalu awal".
Mengenai kemungkinan ia berpunca daripada serangan siber, Swift berkata tidak terdapat tanda-tanda mengenai perbuatan itu atau gangguan siber, tetapi Tentera Laut AS tidak akan mengetepikan sebarang senario.
Menurut Swif, operasi mencari dan menyelamat (SAR) akan diteruskan sehingga semua ikhtiar untuk mencari kelasi kapal berkenaan menemui penyudahnya.
Sambil berharap ada kelasi kapal itu yang selamat, beliau mengucapkan terima kasih kepada rakan dari Singapura dan Malaysia kerana menyertai usaha SAR.
Sementara itu, dalam laporan terkininya, Pihak Berkuasa Maritim dan Pelabuhan Singapura (MPA), agensi penyelaras SAR itu, berkata usaha pelbagai agensi diterajui Singapura diteruskan hari ini bagi mengesan 10 kelasi yang hilang.
Kata MPA , usaha itu diselaraskan dengan AS, Indonesia, Malaysia dan Australia.
Pihak berkuasa itu berkata, Singapura menerima tawaran bantuan daripada Indonesia pada Selasa untuk melakukan pencarian di utara kawasan pantai Pulau Bintan dan menerima tawaran Malaysia hari ini untuk menghantar empat pesawat menyertai usaha mencari di kawasan yang diperluaskan, termasuk di sepanjang kawasan pantai Malaysia.
Indonesia menambah penghantaran asetnya kepada dua pesawat dan tiga kapal, manakala Australia menawarkan aset bersayap tetap untuk menyertai usaha mencari itu.
Tentera Laut AS juga mengerahkan asetnya dari kapal penggempur amfibia USS America serta pasukan penyelam untuk memasuki ruang terkedap yang terletak di bahagian kapal berkenaan yang mengalami kerosakan.
Menurut MPA , kawasan pencarian diperluas hingga meliputi 2,620 km persegi, dengan Singapura dan AS melakukan pencarian di bahagian tengah kawasan mencari yang dikenal pasti, manakala aset Malaysia dan Indonesia meliputi kawasan di utara dan selatan.
-- BERNAMA