Beberapa lokasi di Pahang dikenal pasti untuk penempatan mangsa banjir - MB

Bernama
Februari 9, 2022 20:23 MYT
Wan Rosdy berkata, beberapa cadangan jangka pendek sedang diperhalusi dalam menambah baik pengurusan bencana di Pahang. - Gambar fail BERNAMA
KUANTAN: Kerajaan Negeri Pahang telah mengenal pasti beberapa lokasi di Kuantan, Lipis, Raub dan Pekan bagi pembinaan penempatan baharu mangsa banjir, kata Menteri Besar Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail.
Bagaimanapun, beliau berkata usaha jangka panjang itu memerlukan perancangan menyeluruh selain perbincangan terperinci bersama dengan penduduk terlibat sebelum keputusan dimuktamadkan.
"Kerajaan negeri dah kenal pasti kawasan tetapi kita perlu jumpa dan adakan libat urus dengan mangsa banjir, kita tak mahu mereka ini dipindahkan secara paksaan kerana nanti akan timbul masalah lain.
"Kita harus fikirkan juga mungkin mereka ada sebab tertentu untuk tidak mahu pindah, perkara ini tidak boleh dibuat dengan mudah. Kita juga sedang bincang dengan Jabatan Kerja Raya serta Jabatan Pengairan dan Saliran supaya keputusan yang tepat dapat dicapai," katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditanya perancangan penempatan mangsa banjir di Pahang pada sidang media selepas menerima borang keahlian UMNO daripada ahli Bersatu Bahagian Maran di sini semalam.
Selain itu, ditanya dakwaan beberapa pihak kononnya kerajaan negeri meminta penduduk memulangkan geran tanah jika dipindahkan ke lokasi baharu, Wan Rosdy menyifatkan ia sebagai khabar angin.
"Setakat ini, kita belum muktamadkan lagi malah dalam perbincangan saya semalam, tidak timbul perkara ini, mangsa banjir yang terjejas dan kemungkinan dipindahkan kita akan pastikan dibuat secara teratur," katanya.
Mengulas lanjut, beliau berkata beberapa cadangan jangka pendek sedang diperhalusi dalam menambah baik pengurusan bencana di negeri itu.
"Ketika perjumpaan bersama dengan pegawai daerah dan jurutera Cameron Highlands, mereka bangkitkan supaya diadakan penggera bagi kenal pasti pergerakan tanah selain memberi kursus kepada komuniti kampung mengenai cara menyelamat mangsa banjir.
"Oleh itu, peralatan seperti bot dan sebagainya diperlukan, ini antara pendekatan jangka pendek yang perlu diberi keutamaan," katanya.
-- BERNAMA
#Wan Rosdy Wan Ismail #Penempatan baharu #mangsa banjir #banjir pahang