Beberapa kawasan di Putatan dilanda banjir kilat

Eleanor Michelle Patrick
Mei 9, 2022 11:01 MYT
Setakat ini, katanya, paras air Sungai Moyog masih pada paras terkawal dengan ketinggian 4.57 meter.
KOTA KINABALU: Beberapa lokasi di daerah Putatan dinaiki air susulan berlakunya hujan lebat dan angin kencang sejak petang Isnin.
Difahamkan, turut terjejas susulan hujan lebat berkenaan adalah Sekolah Kebangsaan (SK) Tombovo.
Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah (JPBD) Putatan, menerusi satu kenyataan media memaklumkan bahawa pihak Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) akan memantau keadaan semasa.
Setakat ini, katanya, paras air Sungai Moyog masih pada paras terkawal dengan ketinggian 4.57 meter.
“Pihak APM Putatan sudah membuat pemantauan di beberapa kawasan panas di daerah Putatan yang sering dinaiki air.
“Antara kawasan yang dipantau adalah Jalan Limpodsu-Tombovo, Jalan Ketiau dan Jalan Lembising,” katanya.
Beliau berkata, ketiga-tiga jalan berkenaan sudah dinaiki air hampir satu meter dan hanya boleh dilalui kenderaan besar atau pacuan empat roda.
Tambahnya, setakat ini, tiada jalan yang terputus dan tiada pusat pemindahan sementara yang dibuka.
#banjir kilat #Putatan banjir kilat #SK Tombovo #Sungai Moyog