Beberapa kawasan di Kota Kinabalu, Manggatal, Inanam, Likas dilanda banjir kilat

Eleanor Michelle Patrick
Januari 16, 2021 06:00 MYT
Beberapa penduduk di sekitar Putatan turut berkongsi gambar kediaman mereka dinaiki air sehingga mencecah paras lutut. - Astro AWANI
KOTA KINABALU: Selepas beberapa hari insiden banjir yang melanda kawasan utara Pantai Barat Sabah mulai surut, kini bencana alam berkenaan beralih ke pusat bandar, semalam.
Hujan lebat sejak sekitar jam 6 petang Sabtu mengakibatkan beberapa kawasan sekitar Kota Kinabalu, Manggatal, Inanam dan Likas dinaiki air.
Menurut Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Lintas, Agustavia Joe Guasi, pihaknya telah menerima panggilan orang ramai berhubung insiden banjir membabitkan beberapa kawasan di Manggatal dan Kota Kinabalu.
"Kita menerima panggilan sekitar jam 7.19 malam melibatkan beberapa lokasi banjir.
"Bomba telah menyelamatkan empat keluarga di Pekan Manggatal yang terkesan banjir dan menempatkan mereka ke kawasan selamat.
"Setakat jam 10 malam, pasukan kita masih melakukan pemantauan rapat di Pekan Manggatal yang kini menghadapi kesukaran akibat beberapa laluan terputus susulan banjir kilat ini," katanya.
Terdahulu, beberapa kawasan di daerah Penampang dan Putatan turut dinaiki air dengan keadaan hujan masih lebat setakat jam 11.30 malam.
Terdapat beberapa penduduk di sekitar Putatan turut berkongsi gambar kediaman mereka dinaiki air sehingga mencecah paras lutut di laman sosial.
#banjir #Kota Kinabalu #banjir kilat #Manggatal #Inanam #Likas #dinaiki air #banjir sabah #Pusat bandar
;