Beberapa kampung di Limbang dilanda banjir kilat
Afiezul Samit
Januari 19, 2022 15:32 MYT
Januari 19, 2022 15:32 MYT
LIMBANG: Keadaan hujan lebat yang turun berkala di Limbang sejak petang semalam telah menyebabkan beberapa kawasan rendah di daerah itu dinaiki air.
Pegawai Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Limbang, Kapten Sulaiman Salama berkata beberapa batang jalan juga terputus ekoran air mencecah dua kaki.
Berikutan itu, paras air di Kampung Bunga Raya naik setinggi 0.3 meter setakat 7.45 malam semalam.
Sementara di Kampung Bangkita, paras air berada pada paras 0.6 meter setakat jam 8.23 malam.
"Kita sentiasa melakukan pemantauan dari semasa ke semasa. Bagaiamanapun, banjir mulai surut sektar jam 11 malam dan keadaan sungai di kampung itu kembali pada paras selamat," katanya ketika dihubungi Astro AWANI pada Rabu.
Selain itu, Sulaiman berkata, setakat ini belum ada keperluan untuk membuka pusat pemindahan sementara (PPS) memandangkan banjir mulai surut.
Sementara itu, Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) meramalkan ribut petir dan hujan lebat akan berlaku di beberapa kawasan di daerah itu.