Beberapa jalan utama di P.Pinang akan ditutup pada 3 dan 4 Jun ini
Bernama
Mei 31, 2023 18:24 MYT
Mei 31, 2023 18:24 MYT
GEORGE TOWN: Beberapa jalan utama di negeri ini akan ditutup secara berperingkat pada Sabtu dan Ahad ini bagi memberi laluan kepada kejohanan lumba basikal Ketua Polis Negara tahun ini.
Ketua Polis Daerah Timur Laut Asisten Komisioner Soffian Santong berkata penutupan jalan-jalan utama akan dilakukan pada 3 Jun bermula 12 malam hingga 4 Jun pada 1 tengah hari.
"Jalan-jalan utama yang terlibat sepanjang kejohanan bagi acara lebuh raya melibatkan dua daerah iaitu Timur Laut dan Barat Daya.
"Antara jalan yang terlibat ialah Padang Kota Lama (permulaan dan penamat), Lebuh Light, Jalan Sultan Ahmad Shah, Jalan Burma, Jalan Kelawai, Jalan Teluk Bahang, Lebuhraya Tun Dr Lim Chong Eu dan lain lagi.
"Bagi acara tahun ini, hanya 17 pasukan dan seramai 204 peserta dari kontijen dan formasi Polis Diraja Malaysia terlibat," katanya kepada pemberita di sini, hari ini.
Katanya, tiga acara berasingan, iaitu acara lebuh raya, ujian masa dan kriterium akan dipertandingkan dalam program yang akan berlangsung bermula 6.30 pagi hingga 1 tengah hari itu.
Tambahnya, dengan Pulau Pinang menjadi tuan rumah tahun ini, acara ini akan dirasmikan oleh Ketua Polis Pulau Pinang Datuk Khaw Kok Chin.
Soffian turut menasihati pengguna jalan raya supaya mematuhi arahan petugas lalu lintas serta bekerjasama dalam menjayakan acara tahunan itu.
-- BERNAMA
#jalan utama ditutup
#Lebuhraya Tun Dr Lim Chong Eu
#Padang Kota Lama
#kejohanan lumba basikal Ketua Polis Negara