Beberapa jalan di Bukit Mertajam ditutup Sabtu dan Ahad ini

Bernama
Julai 27, 2022 06:30 MYT
Beberapa jalan di kawasan Gereja St Anne di Bukit Mertajam akan ditutup kepada lalu lintas bermula Sabtu dan Ahad ini berikutan perayaan keagamaan Kristian. -Gambar hiasan
BUKIT MERTAJAM: Beberapa jalan di kawasan Gereja St Anne, di sini, akan ditutup kepada lalu lintas bermula Sabtu dan Ahad ini berikutan perayaan keagamaan Kristian di situ.
Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah (SPT), ACP Tan Cheng San, berkata penutupan jalan itu akan bermula jam 9 pagi Sabtu hingga jam 3 petang keesokannya membabitkan laluan dari Bukit Mertajam ke Kulim, Kedah dan sebaliknya.
"Jalan yang akan ditutup adalah Jalan Kulim iaitu dari hadapan stesen minyak Caltex menuju ke persimpangan lampu isyarat Taman Bukit Indah, Jalan Tenang, Jalan Taman B dan Jalan Sepakat.
"Sekiranya pengguna jalan raya ke Kulim dari Bukit Mertajam, mereka akan dilencongkan ke jalan alternatif iaitu Jalan Kampung Baru menuju Jalan Rozhan manakala dari Kulim pula akan dilencongkan ke Jalan Sepakat dan Jalan Taman B menuju ke Jalan Kampung Baru," katanya pada sidang media, di sini, pada Rabu.
Katanya, perayaan keagamaan itu sebenarnya telah bermula sejak 22 Julai lepas dan kawalan lalu lintas oleh pihak polis termasuk menempatkan anggota trafik di simpang-simpang utama telah dijalankan namun tiada penutupan jalan sehingga Sabtu ini.
Tan berkata bermula jam 7 malam Sabtu ini juga akan diadakan perarakan lilin oleh Gereja St Anne yang akan bermula berarak dari pintu nombor tiga gereja itu menuju Jalan Berjaya, Jalan Kulim, Jalan Datuk Ooh Chooi Cheng, Jalan Arumugam Pillai, Jalan Aston dan Jalan Usahaniaga.
Katanya, seterusnya mereka akan berpatah balik melalui Jalan Kulim menuju kembali ke pintu nombor satu gereja itu membabitkan jarak perjalanan sejauh 3.5 kilometer dan dijangka selesai pada jam 11 malam.
"Penugasan kawalan lalu lintas untuk perayaan keagamaan itu dijangka selesai sepenuhnya pada jam 3 petang Ahad ini dan jalan raya yang ditutup akan dibuka sepenuhnya semula seperti biasa," katanya.
Beliau berharap pengguna jalan raya dan masyarakat setempat dapat memberi kerjasama bagi memastikan kelancaran perjalanan serta ketenteraman awam.
Pihak gereja memaklumkan lebih 100,000 orang dijangka menghadiri sambutan 10 hari perayaan keagamaan itu.
-- BERNAMA
#Gereja St Anne #perayaan keagamaan Kristian #Tan Cheng San #penutupan jalan
;