Beberapa enakmen berkaitan agama Islam di Negeri Sembilan akan dipinda - Tuanku Muhriz
Bernama
Mac 4, 2024 16:33 MYT
Mac 4, 2024 16:33 MYT
PORT DICKSON: Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan Tuanku Muhriz Tuanku Munawir hari ini bertitah beberapa enakmen berkaitan agama Islam di negeri ini akan dipinda.
Tuanku Muhriz bertitah ia melibatkan Enakmen Pentadbiran Agama Islam Negeri Sembilan 2003, Enakmen Mahkamah Syariah Negeri Sembilan 2024 dan Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam (Negeri Sembilan).
"Semua inisiatif ini dijangka dapat memantapkan lagi pentadbiran agama Islam di negeri ini dengan memperbesarkan skop dan bidang kuasa Majlis Agama Islam Negeri Sembilan (MAINS) serta memudahkan agensi itu lebih proaktif dalam memulakan inisiatif baharu," titah baginda pada Taklimat Hal Ehwal Islam Negeri Sembilan 2023 di sini hari ini.
Turut berangkat ke majlis itu Tunku Besar Seri Menanti Tunku Ali Redhauddin Tuanku Muhriz dan dihadiri Menteri Besar Datuk Seri Aminuddin Harun dan Pengerusi MAINS Datuk Seri Dr Abdul Aziz Sheikh Abdul Kadir.
Dalam pada itu, Tuanku Muhriz bertitah bagi mencapai tahap negara maju, keutamaan perlu diberi kepada Pendidikan Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) dan program Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) yang kini sedang giat diperluaskan di seluruh negara.
Baginda menjelaskan program pendidikan tersebut penting dalam menghasilkan tenaga kerja diperlukan oleh industri bagi kemajuan negara.
"Beta difahamkan MAINS menjalinkan kerjasama program TVET dengan beberapa institusi pendidikan bagi anak-anak asnaf dalam bidang kemahiran seperti kimpalan, mekatronik, penyaman udara dan pengudaraan mekanikal.
"Peranan MAINS dalam menggalakkan para pelajar melanjutkan pelajaran dalam bidang pengajian Islam dan bidang diperlukan bagi memajukan masyarakat Islam amat dialu-alukan," titah baginda.
Justeru, Tuanku Muhriz bertitah MAINS turut menggantikan sistem pinjaman kepada biasiswa penuh pada tahun lepas dapat memanfaatkan 41 pelajar melibatkan kos berjumlah hampir RM1 juta.
Sementara itu, Tuanku Muhriz bertitah MAINS telah membiayai penyelidikan dijalankan oleh Institusi Pengajian Tinggi bagi meningkatkan keberkesanan tadbir urus program bertujuan membangunkan masyarakat Islam di negeri ini.
"Sebagai contoh, pembiayaan telah diberi untuk Kajian Had Kifayah atau Kadar Keperluan Asas Minimum berdasarkan kos sara hidup masa kini. Hasil kajian ini membantu menentukan kelayakan bantuan yang perlu diberikan kepada golongan asnaf," titah baginda.
Baginda bertitah MAINS juga giat melahirkan usahawan dalam kalangan asnaf agar dapat keluar daripada kepompong kemiskinan melalui aktiviti sosioekonomi diusahakan seperti Projek Ternak Ayam Kampung, Projek Madu Kelulut dan kursus latihan urutan badan melalui program Usahawan MyBeedan.
Selain itu, Tuanku Muhriz bertitah tugas memelihara dan menegakkan syiar Islam memerlukan usaha kolektif daripada semua pemimpin negeri dan Persekutuan yang berperanan dalam menyantuni dan membangunkan umat Islam di negeri ini.
"Terapkanlah nilai-nilai kasih sayang, muhibah dan toleransi dalam perhubungan dan hindarilah persengketaan yang merugikan agama dan bangsa. Semua pihak perlu memelihara keharmonian, menghormati perbezaan, menghargai persamaan dan mencintai kedamaian antara kaum," titah baginda.
Dalam pada itu, Tuanku Muhriz turut mengucapkan selamat menjalani ibadah puasa pada bulan Ramadan yang bakal tiba nanti serta berkenan mendoakan hasrat rakyat Palestin menubuhkan negara yang bebas dan merdeka menjadi kenyataan.
-- BERNAMA
#Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan
#Tuanku Muhriz Tuanku Munawir
#Negeri Sembilan
#enakmen berkaitan agama Islam