Beberapa agenda penting pelancongan ASEAN melatari tentatif ATF 2025 hari ini
Syafik Shukri Jalil
Januari 19, 2025 09:45 MYT
Januari 19, 2025 09:45 MYT
JOHOR BAHRU: JOHOR BAHRU: Beberapa agenda penting melatasi Forum Pelancongan ASEAN (ATF) 2025 di sini, hari ini.
Antara yang bakal berlangsung ialah Mesyuarat Menteri-Menteri Pelancongan ASEAN ke-28, Mesyuarat Menteri-Menteri Pelancongan tambah tiga melibatkan China, Jepun dan Korea Selatan ke-24.
Selaku Pengerusi ASEAN, delegasi Malaysia ke acara ini diketuai Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Seri Tiong King Sing.
Di sebelah petang juga, King Sing antara lain akan mengadakan pertemuan bilateral dengan rakan sejawatnya dari Korea Selatan, Yu Inchon.
Sejurus itu, akan berlangsung majlis menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) antara kedua-dua negara.
Selain itu, beberapa pertemuan bilateral antara King Sing dengan rakan sejawatnya dari tiga negara juga dijadual berlangsung hari ini.
King Sing dijadual bertemu dengan rakan sejawatnya dari Thailand, Sorawong Thienthong dan dari India, Gajendra Singh Sekhawat.
Pada masa sama, Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya itu akan bertemu dengan Setiausaha Jabatan Pelancongan Filipina, Esperanza Christina Garcia Frasco.
ATF 2025 yang bermula sejak Rabu hingga 20 Januari ini dianjurkan bagi mempromosikan produk pelancongan serantau dan memudahkan pertukaran pengetahuan serta mewujudkan jaringan.
Ia antara lain bagi meningkatkan kerjasama dengan pemimpin dalam industri pelancongan global bagi menambah jumlan pelancong yang mengunjungi ASEAN.
Sebelum ini beberapa mesyuarat penting berlangsung dengan antara tumpuan termasuk mengenal pasti beberapa cabaran yang perlu ditangani bagi memudahkan kehadiran pelancong dari Rusia ke rantau ini menerusi Mesyuarat Perundingan Pelancongan ASEAN-Rusia kali ke-15.
Ini merupakan kali kedua Malaysia menjadi tuan rumah ATF selepas yang pertama di Kuching, Sarawak pada 2014.