Bebaskan pasaran buruh dari perangkap gaji berasaskan kelayakan akademik - Penganalisis
Irfan Faruqi
April 27, 2024 08:00 MYT
April 27, 2024 08:00 MYT
KUALA LUMPUR: Reformasi gaji di Malaysia hanya boleh dicapai dengan membebaskan struktur buruh daripada penetapan gaji berdasarkan kelayakan akademik.
Ketua Pegawai Eksekutif MTalent Training & Consultancy, Datuk Musa Ali berkata, negara harus beralih ke arah penetapan gaji berdasarkan kompetensi pekerja.
“Apabila kita hendak laksanakan reformasi, bukan semata-mata reformasi gaji, bahkan juga struktur. Daripada sekitar 126,000 responden yang ditemui Suruhanjaya Perkhidmatan Awam (SPA), 20 hingga 30 peratus mahu penilaian semula struktur gaji.
“Pada masa sekarang, kita masih terikat dengan cara lama iaitu kita menetapkan gaji berdasarkan kelayakan akademik dan bukannya tahap kompetensi. Di negara-negara yang pernah saya lawati, telah bergerak ke arah (penetapan gaji) berdasarkan tahap kompetensi.
“Kita ketika ini, 60 peratus pekerja dalam sektor awam dan swasta merupakan kakitangan sokongan, memandangkan operasi kita lebih berasaskan proses. Tetapi dengan dasar pendigitalan dan sebagainya, perlu ada tindakan untuk mengubah struktur itu,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam program Dialog Poket Rakyat pada Jumaat.
Bebaskan pasaran buruh dari perangkap gaji berasaskan kelayakan akademik - Penganalisis
Jelas Musa, penstrukturan ini boleh dilakukan tanpa memberhentikan pekerja sedia ada dan digantikan dengan pekerja baharu dengan skim gaji baharu.
Sebaliknya, majikan boleh mengekalkan kakitangan sokongan dengan memberikan latihan profesional tambahan agar boleh disesuaikan dengan skim gaji yang lebih baik.
“Ada satu Syarikat Berkaitan Kerajaan (GLC) yang saya terlibat dalam proses penilaian struktur buruhnya yang melibatkan 60 peratus kakitangan bukan eksekutif.
“Memandangkan ada dasar pendigitalan, maka mereka sedang beralih ke arah 60 peratus kakitangan eksekutif tanpa perlu buang pekerja dengan meningkatkan kemahiran pekerja sedia ada,” ujarnya.
Pada 19 April lalu, Datuk Seri Anwar Ibrahim memaklumkan, penambahbaikan struktur gaji baharu penjawat awam hampir dimuktamadkan dalam Mesyuarat Jawatankuasa Induk Kajian Sistem Saraan Perkhidmatan Awam (JIKSPA) Bilangan 3 Tahun 2024.
Perdana Menteri dijangka membuat pengumuman berkenaan hal tersebut pada 1 Mei ini.
Dialog Poket Rakyat: Pekerja & gaji bermaruah