Bebanan sampel ujian, punca peningkatan kes 'backlog' di Sabah - Pengarah JKNS

Syafik Shukri Jalil
Ogos 24, 2021 20:18 MYT
Dr Rose Nani berkata walaupun keputusan bagi ujian saringan lewat, pihaknya tetap mengamalkan tindakan pencegahan dan kawalan tetap dilaksanakan.
KUALA LUMPUR: Peningkatan jumlah sampel ujian COVID-19 di Sabah menjadi punca berlakunya peningkatan kes yang didaftar lewat (backlog).
Menurut Pengarah Jabatan Kesihatan Sabah, Dr Rose Nani Mudin, pengesanan kes bergejala di negeri itu juga meningkat seterusnya menambahkan beban ujian di makmal.
‘’Pengesanan kes juga meningkat terutama kes-kes bergejala jadi anggota di lapangan menjalankan saringan untuk semua kes yang bergejala.
‘’Ini yang meningkatkan beban ujian di makmal yang berlaku pada masa ini jadi apabila berlaku beban ujian, ini juga punca kepada berlakunya kes backlog di Sabah,’’ katanya ketika dihubungi Astro AWANI pada Selasa.
Untuk itu ujarnya, Jabatan Kesihatan Sabah telah melakukan beberapa penambahbaikan dalam usaha meningkatkan penggunaan khidmat luar (outsourcing) bagi menjalankan ujian saringan.
Selain itu, pihaknya juga meningkatkan jumlah anggota untuk menjalankan sampel ujian.
BACA: COVID-19: 3,376 kes positif di Sabah, 63 peratus kes 'backlog'
‘’Kami meningkatkan penggunaan sumber luar di mana pada awal bulan Ogos kita telah minta bantuan dari klinik-klinik swasta dan perkhidmatan klinik swasta untuk membuat ujian terhadap kes-kes yang telah dikesan.
‘’Di samping itu, kita juga meningkatkan bilangan anggota untuk melakukan ujian ini maksudnya bukan saja meningkatkan jumlah anggota yang melakukan ujian di makmal tetapi kita juga memanjangkan waktu tempoh mereka bertugas,’’ tambahnya.
Tambah Dr Rose Nani, pasukannya kini meningkatkan keupayaan bagi meningkatkan keupayaan melakukan sekurang-kurangnya dua ribu sampel ujian saringan dalam masa sehari.
‘’Kita juga meningkatkan keupayaan ujian maksudnya ada mesin yang telah kita baiki dan boleh berupaya untuk membuat ujian sehingga dua ribu sehari,’’ ujarnya.
Antara lain, Dr Rose Nani berkata walaupun keputusan bagi ujian saringan lewat, pihaknya tetap mengamalkan tindakan pencegahan dan kawalan tetap dilaksanakan.
‘’Mana-mana yang tidak bersimptom tetapi merupakan kontak rapat, mereka masih dikuarantin selama 10 hari di rumah dan bagi yang bersimptom, disahkan positif dan memiliki simptom yang ringan masih juga dikuarantin di rumah.
‘’Namun mereka akan dipantau setiap hari dan kita ada call center yang akan telefon mereka untuk melihat perkembangan semasa.
‘’Manakala bagi kategori yang positif dan mempunyai simptom yang lebih teruk iaitu kategori tiga dan lima mereka akan dimasukkan ke hospital,’’ tambahnya lagi.
#kes backlog di Sabah #kes COVID-19 di Sabah #Masidi Manjun #Rose Nani Mudin
;