Bazar tradisi di Masjid India kini ditutup
Atiqah Ismail
Jun 27, 2018 15:01 MYT
Jun 27, 2018 15:01 MYT
Bazar Masjid India yang menjadi tumpuan orang ramai membeli-belah setiap kali musim perayaan tiba, kini ditutup selepas lambakan masalah tidak dapat diselesaikan.
Pengumuman tersebut dibuat oleh Datuk Bandar Kuala Lumpur, Tan Sri Mohd Amin Nordin Abd Aziz, tidak akan ada lagi bazar untuk sebarang perayaan selepas ini, lapor The Star, semalam.
“Kami tidak akan membenarkan sebarang bazar sempena Ramadan atau Deepavali dianjurkan di Jalan Masjid India, Lorong Tuanku Abdul Rahman dan kawasan sekitarnya.
“Terlalu banyak aduan yang diterima sebelum ini tetapi ia sukar untuk diselesaikan.
“Sebelum ini, lot bazaar telah diberikan kepada persatuan peniaga tetapi terdapat aduan salah urus serta banyak lot yang disewa untuk keuntungan besar daripada pergi ke peniaga miskin,” katanya.
Walaupun pelbagai usaha yang dibuat pihak Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) sejak penubuhan bazar pada 2003 bermula dengan 100 lot tapak, tetapi masih ada pihak ambil kesempatan buat keuntungan peribadi.
“Pada lima tahun lepas, kami memutuskan peniaga perlu memohon lot tapak terus kepada DBKL melalui proses undian.
“Dalam masa yang sama, persatuan penjaja juga mempunyai peranan untuk memantau operasi bazar tersebut seperti aspek kebersihan,” jelasnya lagi.
Dalam pada itu, Amin Nordin mempertimbangkan nasib pasar malam yang sudah menjadi tradisi penduduk Kuala Lumpur serta tidak menolak kemungkinan ia bakal dipindahkan ke lokasi lebih sesuai.
“Saya akan bincang keperluan memindahkan pasar berkenaan ke tempat lain.
“Buat masa sekarang, ia akan beroperasi seperti biasa,” katanya lagi.
Pada 2016, peniaga bazar Melayu meminta pihak DBKL untuk memindahkan bazar tersebut ke lokasi lain kerana menghalang laluan masuk ke Wisma Yakin.
Selain itu, pada 2015, sebanyak RM1.2 juta diperolehi DBKL hasil tender sebanyak 71 lot bazar ramadhan.
#Atiqah Ismail
#Bazar Masjid India
#Datuk Bandar Kuala Lumpur
#Deepavali
#ditutup
#Ramadhan
#Tan Sri Mohd Amin Nordin Abd Aziz