Bazar tidak akan dibuka di Johor buat masa ini
Bernama
Jun 11, 2020 22:29 MYT
Jun 11, 2020 22:29 MYT
Semua bazar di 16 kawasan pihak berkuasa tempatan (PBT) Johor tidak akan dibuka buat masa ini meskipun pasar pagi dan pasar malam dibenarkan beroperasi mulai Isnin depan (15 Jun).
Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan Johor Ayub Jamil berkata keputusan itu adalah susulan persetujuan yang dicapai kerajaan negeri bersama semua PBT dalam satu perbincangan semalam.
"Kesemua PBT bersetuju untuk tidak membuka bazar seperti Pasar Karat Johor Bahru sehingga tempoh dimaklumkan kelak.
"Tindakan ini diambil kerana penganjuran bazar dilihat merupakan acara himpunan awam, mempunyai kunjungan orang ramai yang lebih tinggi dan melibatkan ramai peniaga.
"Selain itu, PBT mahu menilai dahulu tahap kawalan dan pelaksanaan semua pasar pagi dan pasar malam sebelum membuat keputusan membuka bazar," menurutnya dalam kenyataan di sini.
Ayub berkata dalam perbincangan itu, pihaknya turut memberi kata putus terhadap perkara lain antaranya waktu operasi bagi pasar pagi yang dibenarkan ialah dari 6 pagi hingga 11 pagi manakala bagi pasar malam (4 petang hingga 10 malam).
"Sebelum ini, garis panduan yang diberikan untuk pembukaan pasar pagi dan pasar malam adalah ia mestilah dibuka di kawasan bersesuaian, lapang dan berpagar bagi mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan oleh Kementerian Kesihatan.
"Bagaimanapun, perbincangan yang dilakukan kemudiannya telah bersetuju untuk membenarkan PBT mencari lokasi pasar baharu yang lebih sesuai bagi mengantikan tempat sedia ada.
"Sekiranya kawasan pasar itu tidak mempunyai pagar, PBT juga perlu memastikan ia mempunyai hadangan seperti menggunakan tiang atau ditanda dengan pita," katanya.
Selain itu, beliau memaklumkan pasar juga harus mempunyai laluan keluar masuk secara sehala, kemas, tidak sesak dan sempit serta hanya dibenarkan belian secara bawa pulang untuk proses urus niaga jualan.
"Bagi pasar yang mempunyai bilangan peniaga ramai, PBT akan menggunakan konsep penggiliran lot berniaga untuk mengurangkan jumlah gerai sekali gus memastikan kawasan pasar kekal sistematik," katanya.-- BERNAMA
#bazar
#Johor
#Kementerian Kesihatan
#kerajaan
#kesihatan
#operasi
#peniaga
#pihak berkuasa tempatan
#SOP