Bazar Ramadan yang wajib anda kunjungi di Lembah Klang
Astro Awani
April 14, 2022 16:48 MYT
April 14, 2022 16:48 MYT
KUALA LUMPUR: Bazar Ramadan seperti yang kita sedia maklum menjadi tempat tarikan bagi umat Islam yang ingin mencari juadah berbuka puasa.
Di Malaysia, tidak kira warna kulit dan agama, semua orang akan mengunjungi bazar Ramadan untuk menikmati masakan dan hidangan yang dua kali ganda lebih menggiurkan berbanding bulan biasa.
Kalau sudah sebulan sekali Ramadan menjelma, apa salahnya kalau kita cuba singgah ke bazar-bazar menarik kerana bukan sahaja suasananya yang berbeza, tetapi pilihan makanan dan minumannya juga pelbagai.
Kepada penduduk di Lembah Klang, Astro AWANI senaraikan lima bazar Ramadan sebagai panduan buat anda jika sekiranya anda mahu mencari kelainan.
1. Bazar Taman Tun Dr. Ismail (TTDI) Kuala Lumpur
Nama Bazar TTDI tidak asing lagi setiap kali bulan puasa kerana ia merupakan salah satu bazar yang paling terkenal di Lembah Klang.
Sebut sahaja apa yang anda idamkan untuk berbuka, pastinya ia boleh didapati di sana kerana terdapat pelbagai pilihan disajikan seperti briyani gam, ikan bakar, kambing bakar, nasi padang dan banyak lagi.
Memandangkan ia kawasan tumpuan ramai, adalah dinasihatkan agar anda datang lebih awal kerana makanannya bukan sahaja menarik untuk dilihat, tetapi rasanya juga cukup nikmat.
2. Bazar Ramadan Taman Melawati
Rugilah jadi orang Lembah Klang kalau tak pernah singgah bazar yang terletak di Lorong Selangor, Taman Melawati ini.
Bukan setakat meriah, malah ia juga bazar yang boleh dikatakan sebagai terbesar di Lembah Klang kerana daripada kuih-muih seperti popia basah, kebab sehinggalah ke ayam claypot, nasi arab semua ada di sana.
3. Bazar Stadium Shah Alam, Selangor
Sebenarnya bukan orang Shah Alam sahaja yang datang ke sini, tetapi orang dari kawasan Bukit Raja, Klang dan Subang Jaya pun sanggup datang ke sini kerana nak merasa nasi kukus dan pau ayam panggang yang terkenal di sini.
4. Bazar Ramadan Bangsar
Terletak di Jalan Telawi. Kalau anda nak cari ayam bakar, ikan bakar, sotong bakar dan semua yang dibakar secara langsung, segalanya ada di sini!
5. Bazar Ramadan Kampung Baru
Kampung Baru ni memang tidak perlu diperkenalkan lagi, sama ada bulan Ramadan atau tidak, memang jadi tumpuan warga kota disebabkan pelbagai kedai makan sedap ada di sini.
Sepanjang Ramadan, jalan di Kampung Baru memang dipenuhi dengan pelbagai gerai menjual makanan sedap-sedap seperti roti john, murtabak dan paling menjadi rebutan ramai iaitu bubur lambuk.
Hakikatnya, banyak sahaja lagi bazar yang menarik kerana tiada apa yang lebih menarik kalau anda dapat meluangkan masa bersama yang tersayang di samping dapat berjimat-cermat.
Harus diingatkan juga, ini adalah senarai bazar tumpuan dan pastinya ia akan dipenuhi orang ramai dan jalan juga pastinya sesak.
Jadi, jangan lupa amalkan penjarakan fizikal dan pakai pelitup muka sepanjang masa dan gunakan cecair pembasmi tangan, serta kalau boleh, gunakan ‘cashless’ untuk elakkan bersentuhan.