Bazar Ramadan UKM asah potensi keusahawanan pelajar

Bernama
April 10, 2023 12:11 MYT
Program bazar Ramadan tersebut bertujuan memberi peluang serta pendedahan aktiviti keusahawanan khususnya kepada usahawan siswa universiti berkenaan. - Gambar/ UKM
KUALA LUMPUR: Bazar Ramadan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) menjadi platform untuk mengasah potensi keusahawanan dalam kalangan mahasiswa serta membina pengalaman berniaga bagi menjana pendapatan sendiri.
Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Jaringan Industri dan Masyarakat UKM Prof Datuk Norazah Mohd Nordin berkata program tersebut bertujuan memberi peluang serta pendedahan aktiviti keusahawanan khususnya kepada usahawan siswa universiti berkenaan.
"Seramai 22 peniaga usahawan siswa mengambil peluang ini untuk menjual pelbagai menu juadah berbuka puasa di tapak bazar yang bersebelahan dengan Dewan Canselor Tun Abdul Razak, UKM, Bangi," katanya dalam kenyataan hari ini.
Norazah berkata berbeza dari tahun sebelumnya, bazar Ramadan tahun ini lebih banyak membuka ruang kepada pelajar untuk memperkenalkan produk masing-masing sekali gus menonjolkan bakat dan kemahiran keusahawanan dalam diri.
"Seperti disarankan oleh pihak Kementerian Pendidikan Tinggi, pembangunan keusahawanan di peringkat institut pengajian tinggi perlu sentiasa diteruskan bagi menganjak minda pelajar daripada pencari pekerjaan kepada penjana pekerjaan.
"Melalui bazar Ramadan ini, usahawan siswa memperoleh pengalaman cukup berharga dan secara amali," katanya sambil menambah suasana Ramadan lebih meriah bagi pelajar UKM yang baru pertama kali menyambutnya di universiti setelah dua tahun pengajian dilakukan secara dalam talian.
Sementara itu, pelajar tahun tiga Fakulti Ekonomi dan Pengurusan, Rheeima Hari Krishnan, 22, berkata berniaga di tapak bazar Ramadan itu memberi peluang kepada pelajar untuk berkecimpung dalam bidang perniagaan.
Beliau yang berniaga kuih donat susu dan bomboloni bersama rakannya nyata teruja kerana ini kali pertama melibatkan diri dalam aktiviti keusahawanan selain seronok menimba pengalaman baharu.
"Saya gembira apabila melihat pengunjung bazar suka apa yang kami jual, namun kami tidak dapat menjana hasil yang lumayan ketika hari pertama kerana tersilap anggaran stok makanan," katanya.
Bazar Ramadan UKM dianjurkan Pusat Pembangunan Keusahawanan dan Enterprise Kecil dan Sederhana UKM dengan kerjasama Kolej Tun Hussein Onn, Pusat Hal Ehwal Pelajar UKM serta Persatuan Mahasiswa UKM.
-- BERNAMA
#Bazar Ramadan #UKM #usahawan muda #Norazah Mohd Nordin
;