Bazar Ramadan Tok Adis dibenar beroperasi semula esok

Bernama
April 18, 2021 23:05 MYT
Bazar Ramadan Tok Adis adalah bazar pertama di Terengganu yang diarah tutup sementara selama 14 hari oleh JKNT setelah didapati banyak pelanggaran SOP. - Gambar/ Bernama
KUALA TERENGGANU: Bazar Ramadan Tok Adis dekat Kuala Ibai di sini yang diarah tutup sementara oleh Jabatan Kesihatan Negeri Terengganu (JKNT) pada Jumaat lepas (16 April) dibenarkan beroperasi semula mulai petang esok.
Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar negeri Dr Alias Razak berkata kebenaran untuk kembali beroperasi lebih awal berbanding arahan penutupan selama 14 hari itu diberi setelah pihak penganjur memberi jaminan akan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang telah ditetapkan.
"Kebenaran ini diharap dapat melegakan semua peniaga di bazar itu untuk meneruskan jualan mereka seperti biasa dan kita harap peniaga serta pengunjung akan patuh semua SOP bagi mencegah penularan COVID-19," katanya ketika dihubungi pemberita hari ini.
BACA: Bazar ditutup, peniaga mengeluh terpaksa cari rezeki di tempat lain
Bazar Ramadan Tok Adis adalah bazar pertama di Terengganu yang diarah tutup sementara selama 14 hari oleh JKNT setelah didapati banyak pelanggaran SOP berlaku hasil pemantauan pegawai penguat kuasa jabatan selama beberapa hari.
Penutupan itu berkuat kuasa di bawah Seksyen 18 (1) (f)(d) Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342).
Antara SOP yang mesti dipatuhi di bazar Ramadan ialah pengambilan suhu badan, pendaftaran masuk menggunakan aplikasi MySejahtera, penggunaan cecair pembasmi kuman, pemakaian pelitup muka, laluan sehala dan hanya pengunjung 13 tahun ke atas sahaja dibenarkan masuk.
Terdahulu, satu perjumpaan telah diadakan antara Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Batu Buruk Muhammad Khalil Abdul Hadi, Pegawai Kesihatan Persekitaran Unit Inspektorat dan Perundangan (UIP) Terengganu serta penganjur bazar Ramadan Tok Adis di lokasi itu petang tadi bagi meninjau persiapan pematuhan SOP.
Hasil perjumpaan tersebut akhirnya membolehkan bazar Ramadan itu beroperasi semula hasil budi bicara JKNT namun operasinya tetap akan dipantau bagi memastikan tiada lagi pelanggaran SOP berlaku selepas ini.
-- BERNAMA
#Bazar Ramadan #Tok Adis #Kuala Ibai #diarah tutup #terengganu #COVID-19 #SOP #dibenar #dibenar beroperasi semula #ramadan2021
;