Bazar Ramadan tak patuh SOP di Pahang akan diarah tutup serta-merta

Astro Awani
April 13, 2021 21:44 MYT
Kerajaan negeri memandang serius isu pelanggaran SOP yang boleh menyebabkan penularan COVID-19. - Gambar/ Astro AWANI
KUANTAN: Bazar Ramadan yang didapati tidak mematuhi prosedur operasi standard (SOP) di Pahang akan diarah tutup serta-merta, kata Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan dan Perumahan negeri, Datuk Abdul Rahim Muda.
Beliau berkata, pihak berkuasa memandang serius isu pelanggaran SOP yang boleh menyebabkan penularan COVID-19.
“Kita akan tutup kalau ada pelanggaran (SOP) ataupun terdapat kes (COVID-19) di kawasan terbabit. Kita berharap, tindakan tegas yang diambil akan dapat mengekang penularan COVID-19," katanya.
Beliau berkata demikian selepas meninjau pematuhan bazar Ramadan di sekitar Kuantan pada Selasa.
Dalam perkembangan sama, Abdul rahim mengingatkan penganjur dan peniaga supaya memainkan peranan masing-masing bagi memastikan pelanggan juga mematuhi SOP ditetapkan.
Di Kuantan sebanyak 30 tapak jualan membabitkan 26 bazar Ramadan dan empat bazar Aidilfitri diluluskan pihak berkuasa tempatan dengan pembabitan seramai 1,008 peniaga.
Waktu perniagaan bagi bazar Ramadan adalah dari pukul 3 petang hingga 8 malam bermula 13 April hingga 12 Mei depan dan aktiviti yang dibenarkan adalah jualan makan dan minuman sahaja.
Bazar Aidilfitri pula dibenarkan bermula jam 12 tengah hari hingga 12 tengah malam (17 April hingga 12 Mei) untuk jualan barangan kering dan pelbagai.
#Bazar Ramadan #pasar Ramadan #tidak patuh sop #ditutup serta-merta #diarah tutup #Pahang #Kuantan #Exco #Abdul Rahim Muda
;