Bazar Ramadan Rahmah: KPKT akan adakan perbincangan dalam masa terdekat
Amirrul Rabbani
Mac 10, 2023 14:47 MYT
Mac 10, 2023 14:47 MYT
IPOH: Kementerian Pembangunan Kerajaan Tempatan (KPKT) akan mengadakan perbincangan dalam masa terdekat dengan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) berhubung cadangan pelaksanaan Bazar Ramadan Rahmah tahun ini.
Timbalan Menteri KPKT, Akmal Nasrullah Mohd Nasir berkata perbincangan berkenaan hal itu juga sebagai mahu mengenal pasti kaedah pelaksanaannya agar ia dapat diperluaskan ke semua Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) di seluruh negara.
Menurutnya KPKT menyambut baik inisiatif berkenaan sebagai membantu kerajaan dalam usaha menangani tekanan kos sara hidup yang sedang dihadapi rakyat.
Malah katanya usaha tersebut juga dilihat seiring dengan hasrat Kerajaan Perpaduan yang mahu menoktahkan kadar kemiskinan tegar pada tahun ini.
“Di KPKT misalnya kita ada usaha (libat urus bersama Kementerian Ekonomi) yang spesifik iaitu Inisiatif Pendapatan Rakyat (IPR).
“Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli semalam sendiri sudah ada libat urus secara langsung dengan semua Yang Di Pertua dan Datuk Bandar di KPKT, yang mana kita lihat ia usaha yang holistik.
“Untuk inisiatif daripada KPDN (Bazar Ramadan Rahmah pula) memang kita akan sambut baik dan kita juga harap kerjasama di peringkat PBT ini dapat diuruskan dengan seharmoninya supaya akhirnya manfaat itu diterima oleh rakyat,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika ditemui pada Majlis Perasmian Forum Perbandaran Hijau (Green Urban Forum) 2023 Sempena Sambutan Hari Landskap Negara di sini pada Jumaat.
Hadir sama, Ketua Setiausaha Kementerian Pembangunan Kerajaan Tempatan, Datuk M Noor Azman Taib serta Datuk Bandar Ipoh, Datuk Rumaizi Baharin.
Sebelum itu Akmal Nasrullah diminta mengulas berkenaan rancangan penganjuran Bazar Ramadan Rahmah di semua negeri oleh Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN).
Menterinya, Datuk Seri Salahuddin Ayub dilaporkan berkata pihaknya akan mengadakan perbincangan dengan pelbagai pihak termasuk dengan KPKT bagi insiatif berkenaan.
Media juga melaporkan KPDN berharap di bawah insiatif berkenaan kadar bayaran sewa tapak premis di bazar Ramadan pada tahun ini dapat dikurangkan bagi membolehkan para peniaga menjual makanan dan minuman dengan lebih murah atau pada harga 'Rahmah'.
Mengulas tentang program, Akmal Nasrullah berkata Forum Perbandaran Hijau diadakan bersempena dengan penganjuran sambutan Hari Landskap Negara yang akan dirasmikan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Sabtu.
Katanya forum berkenaan melibatkan 150 peserta yang terdiri daripada pelbagai pihak berkaitan serta empat pembentang dan ahli panel yang terdiri daripada tenaga pakar serta badan profesional.
“Forum Perbandaran Hijau merupakan platform bagi membincangkan pelbagai aspek pengurusan perbandaran hijau, seperti landskap ke arah mencapai Matlamat Pembangunan Mampan (SDG), digitasi seni bina dan transformasi landskap, serta inovasi pengurusan hijau,” jelasnya.