Bazar Ramadan: Pelanggaran SOP, salah peniaga atau pelanggan?
Fareez Azman
April 16, 2021 23:12 MYT
April 16, 2021 23:12 MYT
KUALA LUMPUR: Hanya memasuki empat hari penganjuran Bazar Ramadan dibenarkan di seluruh negara kecuali negeri Kelantan, namun sudah banyak pelanggaran prosedur operasi standard (SOP) dalam kalangan pelanggan dilaporkan berlaku.
Tinjauan Astro AWANI di Bazar Ramadan Taman Greenwood, Gombak mendapati perkara sama terjadi apabila segelintir pelanggan masih gagal mematuhi penjarakan fizikal disebabkan lokasi yang sempat.
Selain itu, masih ada yang membawa anak kecil meskipun dinasihatkan agar tidak berbuat demikian.
Timbul tanda tanya, adakah pelanggaran SOP ini semuanya tertumpu kepada peniaga dan penganjur semata-mata atau sebenarnya, rakyat Malaysia sudah lelah dengan SOP yang ditetapkan?
Menurut peniaga, Mohd Shahiman Che Salleh, bilangan pengunjung menjadi tidak terkawal ketika waktu puncak.
"Peniaga masih ikut lagi, sebab tengok kuantiti orang (yang) masuk banyak, nampak macam SOP tidak terkawal.
"Bila dah terlalu ramai pelanggan beratur panjang, bagi saya kadang-kadang pintu keluar dan masuk perlu dipastikan kena jaga bilangan pelanggan yang masuk. Kalau boleh 30 pelanggan buat satu-satu masa," jelasnya ketika ditemui pada Jumaat.
Situasi sama dikongsi peniaga bubur, Rahman Bakri, 58, yang melihat amaran untuk menutup bazar Ramadan seperti mana disuarakan beberapa pemimpin sebelum ini sebagai bukan penyelesaiannya.
Sebaliknya, jelas Rahman, SOP yang dikuatkuasakan ketika ini perlu diperhalusi agar tidak menyebabkan peniaga terbeban.
"Kalau tidak berniaga memang payah, kita ekonomi bergantung (kepada) berniaga, kalau tidak boleh berniaga macam tahun lepas, peniaga pun sakit sebab punca pendapatan terjejas.
"Kalau kerajaan bagi duit cukup tak apa, macam mana kita nak hidup? Ini seolah-olah menghukum peniaga," katanya.
Walaupun mengambil pendekatan menegur dan menasihati pelanggan, namun ia dikatakan tidak berkesan.
Jelas peniaga ikan bakar, Jusof Kadir, 51, situasi dihadapi mereka ibarat diluah mati emak ditelan mati bapa apabila ada juga pelanggan yang enggan mendengar teguran mereka.
"Kita tegur pun macam itu, kalau kita cakap lebih-lebih nanti orang marah kita.
"Buat masa ni ada yang ikut SOP, kita nak tegur pun serba salah, nanti dia (pelanggan) tidak jadi singgah dan beli makanan kami. Kalau tidak nasihat pula, peniaga juga yang kena," tegasnya lagi.
Sebelum ini, Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Zuraida Kamaruddin berkata bahawa pihaknya akan memastikan SOP di Bazar Ramadan akan lebih teratur dan tersusun dalam masa lima hingga enam hari lagi.
Jelasnya, ia melibatkan penguatkuasaan pihak berkuasa tempatan (PBT).