Bazar Ramadan Lorong TAR ditempatkan di Jalan Raja tahun ini

Bernama
Mac 18, 2019 06:11 MYT
Pasar Ramadan di Jalan TAR akan dipindahkan ke Jalan Raja tahun ini. - BERNAMA/Fail
Operasi bazar Ramadan Lorong Tuanku Abdul Rahman (TAR)/Jalan Masjid India dan kawasan sekitarnya pada tahun ini akan dipindahkan ke Jalan Raja iaitu berhadapan Bangunan Sultan Abdul Samad di ibu negara.
Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Nor Hisham Ahmad Dahlan berkata, lokasi bazar Ramadan itu akan bermula dari lampu isyarat persimpangan Jalan Gereja hingga ke lampu isyarat persimpangan Leboh Pasar Besar merangkumi jarak 200 meter dan 12 meter lebar.
"Sepanjang operasi bazar Ramadan ini, kenderaan awam masih boleh melalui Jalan Raja. Tiada penutupan sepenuhnya Jalan Raja dalam tempoh bazar Ramadan itu beroperasi," katanya dalam kenyataan pada Isnin.
Susun atur petak-petak niaga telah diselaraskan dengan teratur bagi memberi keselesaan kepada peniaga dan pengunjung di samping mengelak gangguan lalu lintas, katanya.
Nor Hisham juga memaklumkan bahawa tiada pemindahan pasar malam Lorong TAR akan dilakukan buat masa ini.
Menurutnya, cadangan pemindahan pasar malam itu dalam peringkat kajian dan persatuan penjaja akan dilibatkan dalam perbincangan mengenainya.
Nor Hisham berkata kios-kios yang dicadang dibina di sepanjang Jalan TAR adalah sebahagian daripada projek 'Sungai Nadi Kehidupan' (ROL), namun ia masih di peringkat kajian.
Cadangan pembinaan itu adalah untuk menyusun semula peniaga sedia ada di sekitar Lorong TAR dan Jalan Masjid India, katanya.
Nor Hisham turut memaklumkan bahawa penutupan Jalan TAR secara percubaan akan bermula pada 6 dan 7 April dan diteruskan pada setiap hujung minggu bulan April termasuk cuti umum.
Penutupan itu katanya, bersesuaian dengan inisiatif ROL iaitu kawasan berkenaan akan dijadikan mesra pejalan kaki di samping merealisasikan Kuala Lumpur sebagai bandar rendah karbon.
Dalam tempoh percubaan ini, penutupan itu terhad kepada kenderaan persendirian sahaja manakala kenderaan awam seperti bas dan teksi serta kenderaan kecemasan seperti polis, bomba, ambulans dan badan penguatkuasaan lain masih dibenar menggunakannya.
Penutupan yang bermula dari persimpangan selepas Jalan Esfahan/Jalan TAR dan berakhir di lampu isyarat sebelum Jalan TAR/Jalan Melayu itu adalah dari 8 pagi Sabtu hingga 11.59 malam hari Ahad. -- Bernama
#Bangunan Sultan Abdul Samad #Bazar Ramadan #Jalan Gereja #Jalan Masjid India #jalan raja #Lorong Tuanku Abdul Rahman #Nor Hisham Ahmad Dahlan
;