Bazar Ramadan: Gerai terlajak laris disaran laksana pas bernombor - Annuar Musa

Bernama
April 18, 2021 05:41 MYT
Annuar (kanan) beramah mesra bersama peniaga semasa melakukan lawatan ke Bazar Ramadan Datuk Keramat, Kuala Lumpur, 18 April, 2021. --fotoBERNAMA
KUALA LUMPUR: Mana-mana gerai yang laris jualannya di Bazar Ramadan di Wilayah Persekutuan disarankan melaksanakan sistem pas bernombor dalam memastikan pelanggan mereka terus mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan.
Menteri Wilayah Persekutuan Tan Sri Annuar Musa berkata cadangan itu dibuat agar kehadiran pelanggan mereka yang ramai akan terus kekal mengamalkan penjarakan fizikal sekali gus membendung penularan pandemik COVID-19.
"Bagi gerai terlajak laris ini kita minta jawatankuasa berbincang dengan mereka untuk memperbaiki kepatuhan pelanggan mereka kerana kita lihat masih lagi ada pelanggan yang bersesak-sesak.
"Pastikan yang ada nombor sahaja beratur dan bila habis yang ada nombor, baharu dibenarkan masuk kerana kita tidak mahu bersesak-sesak dan itu sebenarnya kebimbangan kita," katanya kepada pemberita selepas meninjau operasi Bazar Ramadan Datuk Keramat di sini, pada Ahad.
Menurut Annuar dalam soal kepatuhan SOP, pihaknya mengetengahkan dan menggalakkan orang ramai agar mengamalkan konsep kendali sendiri patuh sendiri.
"Walaupun kita percaya kepada konsep kendali sendiri patuh sendiri, kita nak kena ada juga peringatan dan di sesetengah tempat, mungkin boleh menggunakan sistem pembesar suara untuk 'reminder' (peringatan)," katanya.
Katanya, penutupan Bazar Ramadan akan menjadi pilihan terakhir yang akan diambil sekiranya kes jangkitan COVID-19 di Wilayah Persekutuan meningkat dengan mendadak.
"Kalau boleh kita mahu menggalakkan semuanya berniaga sehingga habis Ramadan. Oleh itu, kita perlu sama-sama patuh SOP dan mendoakan supaya tiada kes jangkitan membabitkan Bazar Ramadan di Wilayah Persekutuan," katanya.
-- BERNAMA
#gerai terlajak laris #SOP #PKP #COVID-19 #pas bernombor #cegah penularan #gerai laris #Annuar Musa #operasi #pandemik #Ramadan #Wilayah Persekutuan #sesak #pelanggan #kesesakan #beratur #nombor #Bazar Ramadan #penjarakan fizikal #ramadan2021
;