Bazar Ramadan diteruskan di Kuala Lumpur jika keadaan pulih - DBKL

Fauzi Suhaimi
Mac 19, 2020 11:52 MYT
Nor Hisham berkata, aktviti bazar Ramadan hanya akan ditentukan dengan mengambilkan kira pelbagai faktor susulan penularan virus COVID-19. - Gambar Sinar Harian
Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) akan meneruskan aktiviti perniagaan bazar Ramadan untuk tahun ini.
Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Nor Hisham Ahmad Dahlan berkata, bagaimanapun perkara tersebut akan ditentukan dengan mengambilkan kira pelbagai faktor susulan penularan virus COVID-19.
Katanya, DBKL juga akan mendapatkan pandangan dan nasihat daripada Majlis Keselamatan Negara (MKN) sebelum aktiviti itu dilaksanakan.
"Kita akan tengok situasi selepas 31 Mac ini. Jika keadaan beransur pulih, aktiviti penjajaan bazar Ramadan akan diteruskan seperti biasa.
"Buat masa ini, tiada sebarang perubahan dan DBKL juga akan mematuhi semua arahan yang dikeluarkan oleh MKN jika pelaksanaan bazar Ramadan akan membahayakan orang ramai," katanya ketika dihubungi Astro AWANI di sini pada Khamis.
Sebanyak 5,000 tapak bazar Ramadan disediakan DBKL melibatkan 65 lokasi di sekitar ibu negara.
#COVID-19 #DBKL #jualan tapak bazar #keselamatan #koronavirus #Ramadan
;