Bazar Ramadan di Sabah, Sarawak kembali meriah
Bernama
Mac 23, 2023 20:31 MYT
Mac 23, 2023 20:31 MYT
KUALA LUMPUR: Bazar Ramadan yang diadakan saban tahun sentiasa menjadi tumpuan rakyat Malaysia bagi mendapatkan juadah berbuka puasa dan kemeriahannya kembali dirasai termasuk di Sabah dan Sarawak, hari ini.
Di SABAH, sebanyak lapan bazar dibuka di Kota Kinabalu iaitu di Lintasan Deasoka; tapak pasar malam Sembulan; medan kereta Indah Permai; medan kereta Tanjung Aru; tapak pasar malam Inanam; tapak pasar malam Kingfisher; tapak pasar malam Inanam Point dan medan kereta Dewan Damai.
Bagi seorang peniaga bazar Ramadan di Lintasan Desoka, Ikhwan Zulkarnain Abdul Patak, 36, berkata beliau serta anggota keluarganya mengamalkan konsep "baraqah" dalam berniaga yang menawarkan pelbagai nasi dan lauk pauk dengan harga murah kepada pengunjung.
"Harga barang mentah mahal sekarang, tetapi kita fikir mencari 'baraqah' dalam berniaga terutama bulan Ramadan ini, memang untung tidak banyak tetapi bila kita jual harga murah ramai beli bertambah untung, itu juga kita dapat bantu orang kurang berkemampuan," katanya yang menjual nasi dan dua lauk dengan harga bawah RM7, serta nasi dan tiga lauk dengan harga bawah RM10.
Selain itu, Abel Benwel Akop, 48, seorang pegawai kerajaan berkata sudah menjadi "acara tahunan" buat diri serta keluarganya mengunjungi bazar bagi mencari makanan halal yang enak dan unik di Negeri di Bawah Bayu itu.
"Kita di Sabah tidak pelik bila orang bukan Islam suka cari makanan halal kerana kita hidup berbilang latar belakang lama sudah, saya sejak muda suka cari makanan halal kerana tahu ia lebih bersih dan sedap, jadi bazar ini tempat saya cari makanan halal sedap dan unik setiap tahun," katanya.
Bagaimanapun, rata-rata pengunjung dan peniaga Bazar Ramadan yang ditemui Bernama memohon kepada peniaga bazar di seluruh negara supaya berniaga dengan jujur, memberikan khidmat terbaik dan mengenakan harga berpatutan kepada pelanggan.
Bagi pelajar universiti Siti Aisyah Rosdi, 24, berkata peniaga dan pengunjung juga perlu menjaga tingkah laku agar tidak terlibat dengan perbuatan tidak senonoh, berpakaian tidak bersesuaian dan berhemah dalam penggunaan media sosial.
Sementara itu, Mohd Shajirie Rahman, 28, kesal terhadap sikap peniaga yang tidak jujur dalam menjual makanan di bazar seperti karipap "oksigen" yang merujuk kepada karipap kurang inti, air minuman tidak dimasak betul dan ada makanan dijual basi.
Di SARAWAK, keadaan cuaca cerah pada waktu petang di kawasan Kuching memberi peluang kepada orang ramai berkunjung ke Bazar Ramadan bagi membeli juadah "sungkai" atau "sungkei'' (buka puasa).
Tinjauan Bernama mendapati peniaga bazar Ramadan di bandar raya ini mula berada di tapak jualan seawal 12 tengah hari dan orang awam mula membanjiri lokasi bazar pada 4 petang.
Antara manisan yang ditunggu-tunggu dan lazimnya akan membuat "kemunculan semula" bersempena bulan puasa di negeri ini terjual di kebanyakan lokasi bazar seperti kuih telaga emas, kuih bongkol, kuih takir dan tapai daun apong.
Menurut Dewan Bandaraya Kuching Utara (DBKU), sejumlah 168 petak tapak jualan Bazar Ramadan disediakan di tiga lokasi iaitu Satok, Semarak dan Sukma Ria, manakala Majlis Bandaraya Kuching Selatan (MBKS) pula menyediakan 160 tapak jualan melibatkan Pusat Komersial Stutong dan Pasar Komuniti Stutong.
-- BERNAMA