Bazar Ramadan di Melaka boleh beroperasi jika MKN benarkan - Ketua Menteri
Shuhada Abdul Kadir
Mac 8, 2021 13:23 MYT
Mac 8, 2021 13:23 MYT
AYER KEROH: Kerajaan Melaka sedia membenarkan operasi semua bazar Ramadan di seluruh negeri itu pada bulan puasa tidak lama lagi.
Bagaimanapun, Ketua Menteri, Datuk Seri Sulaiman Md Ali berkata, kebenaran itu bergantung pada keputusan Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan penurunan statistik harian kes COVID-19 di negeri berkenaan.
Menurut Sulaiman, sebelum ini beliau pernah mengumumkan 2021 akan menjadi tahun bebas berniaga, namun, semua itu mesti bergantung pada perkembangan terkini pandemik COVID-19.
“Insya-Allah kalau ada angka yang melihatkan penurunan yang baik, kita akan buka bazar Ramadan, tetapi ianya bergantung kepada keputusan MKN, kalau MKN benarkan semua negeri, maka Melaka tidak ketinggalan,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada wartawan selepas melancarkan Pelan Strategik Melaka Maju Jaya (PSMJ 2035) di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka di sini, hari ini.
Mengulas lanjut, Sulaiman berkata, kerajaan negeri juga sentiasa akur dengan sebarang arahan MKN jika operasi bazar Ramadan terus dilarang sebagaimana tahun lalu.
Aspek keselamatan dan kesihatan rakyat tambah beliau, sentiasa menjadi keutamaan kerajaan negeri.
Operasi bazar Ramadan di seluruh Melaka dan negeri-negeri lain tidak dibenarkan pada tahun lalu ekoran pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) berikutan penularan pandemik COVID-19.