Bazar Ramadan Danau Kota: DBKL akan ambil tindakan wajar

Bernama
Mei 9, 2019 05:20 MYT
Keadaan Bazar Ramadan di Danau Kota yang mempunyai lebih 100 peniaga dan penjaja mendesak DBKL supaya membenarkan mereka berniaga sekali gus mengeluarkan lesen perniagaan. --fotoBERNAMA
Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) akan mengambil tindakan sewajarnya dengan mengikut prosedur yang telah ditetapkan bagi menangani konflik peniaga di Bazar Ramadan Danau Kota di sini, kata Timbalan Menteri Wilayah Persekutuan Datuk Dr Shahruddin Md Salleh.
Beliau berkata, isu itu timbul berikutan wujudnya kekeliruan dalam kalangan peniaga yang beranggapan kawasan itu boleh beroperasi.
"Kami tidak boleh nak halang orang nak berniaga, mereka mungkin sudah siapkan barang berniaga sebelum bulan Ramadan lagi dengan beranggapan mereka dapat lesen tetapi mereka tidak tahu yang tempat itu memang tidak dibenarkan untuk berniaga," katanya kepada pemberita selepas program pengagihan bubur lambuk di sini pada Khamis.
Bernama pada Rabu melaporkan lebih 100 penjaja dan peniaga Bazar Ramadan Danau Kota meminta DBKL membenarkan mereka berniaga di tapak itu sekali gus mengeluarkan lesen perniagaan.
Hal ini berikutan tindakan DBKL yang mengeluarkan notis arahan penutupan bazar sehari sebelum puasa itu disifatkan sebagai sangat keterlaluan dan merugikan peniaga kerana persediaan telah dibuat beberapa bulan sebelumnya.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Alam Flora, Datuk Mohd Zain Hassan berkata berlaku peningkatan sehingga 500 tan sampah sepanjang bulan Ramadan di ketiga-tiga konsesi syarikat itu iaitu di Kuala Lumpur, Putrajaya dan Pahang.
"Makanan yang tidak dihabiskan atau tidak diusik di bazar-bazar Ramadan penyumbang utama kepada peningkatan pembuangan sisa pepejal selain plastik dan bekas polistren.
"Ia dapat dilihat dengan kenaikan sehingga 3,000 tan sampah dibawa ke tapak pelupusan dalam sehari berbanding 2,500 tan sampah secara purata pada hari biasa di ibu kota kerana Kuala Lumpur mempunyai kepadatan penduduk yang sangat tinggi," katanya.
Dalam perkembangan lain, DBKL dalam kenyataan pada Khamis berkata satu pasukan pakar runding akan dibentuk bagi menyediakan Kajian Pelan Tempatan Kuala Lumpur dalam usaha mewartakan Pelan Pembangunan Kuala Lumpur menjelang 2040.
Datuk Bandar Kuala Lumpur Datuk Nor Hisham Ahmad Dahlan berkata penyediaan pelan itu akan bermula pertengahan tahun ini sebelum pelaksanaannya dijangka dikuatkuasa pada Januari 2021.
"Pelan ni akan menjadikan sistem perancangan di peringkat tempatan lebih telus serta asas garis panduan ke atas pemilik hartanah, pemaju dan penduduk untuk membuat permohonan perancangan dan pembangunan di Kuala Lumpur," katanya.
#Bazar Ramadan #Danau Kota #DBKL #kekeliruan #Mohd Zain Hassan #Nor Hisham Ahmad Dahlan #pasukan pakar runding #Pelan Pembangunan Kuala Lumpur #peniaga #puasa #Putrajaya #Ramadan
;