Bazar ditutup, peniaga mengeluh terpaksa cari rezeki di tempat lain

Bernama
April 17, 2021 16:55 MYT
Bazar Ramadan Tok Adis dekat Kuala Ibai diarah tutup sementara selama 14 hari sehingga 30 April oleh Jabatan Kesihatan Negeri Terengganu, ketika tinjauan hari ini. - BERNAMA
KUALA TERENGGANU: Penutupan sementara bazar Ramadan Tok Adis di sini berikutan kegagalan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) memaksa peniaga di bazar itu mencari 'lubuk rezeki' yang lain.
Peniaga air balang, Muhammad Syahmi Badli Ramli, 30, yang masih terkejut dengan berita penutupan sementara bazar itu berkata beliau terpaksa mencari alternatif lain dan bercadang untuk menjual nasi lemak di tepi jalan pada waktu malam demi memastikan kelangsungan kehidupannya dan para pekerja.
"Memanglah kecewa sebab ini kali pertama saya berniaga di bazar dan saya telah keluarkan modal RM3,000 untuk berniaga air balang, namun saya harus segera memikirkan cara lain untuk mencari rezeki kerana bazar ditutup selama dua minggu. Ia adalah tempoh yang lama.
"Lagipun saya telah ambil lima pekerja untuk membantu saya berniaga di bazar sepanjang bulan puasa ini jadi kalau saya tidak berniaga mereka pun hilang pendapatan. Saya masih mencari tapak baharu yang sesuai dan berharap akan dapat segera mula berniaga nasi lemak," katanya kepada Bernama hari ini.
Bapa kepada seorang anak itu juga berharap penutupan sementara Bazar Ramadan Tok Adis dijadikan iktibar buat semua pihak termasuk para pengunjung supaya sentiasa mematuhi SOP yang ditetapkan.
BACA: Bazar Ramadan: Gagal patuhi SOP, Bazar Tok Adis diarah tutup sementara
BACA: Bazar Ramadan: Pelanggaran SOP, salah peniaga atau pelanggan?
"Selama tiga hari berniaga di bazar yang paling ketara saya lihat adalah pengunjung gagal mematuhi penjarakan fizikal ketika beratur untuk masuk ke dalam bazar, sedangkan kebanyakan kami para peniaga menyewa dua tapak bagi memastikan gerai kami cukup luas dan penjarakan fizikal dapat dipatuhi," katanya.
Jabatan Kesihatan Negeri Terengganu hari ini mengesahkan Bazar Ramadan Tok Adis dekat Kuala Ibai diarah tutup sementara selama 14 hari bermula pukul 8.00 malam tadi hingga 30 April agar penganjur dapat memperkemaskan SOP yang ditetapkan dan memastikan ia dipatuhi oleh peniaga dan pengunjung.
Sementara itu seorang peniaga mee sup dan 'som tam' yang hanya ingin dikenali sebagai Faridah berkata beliau terpaksa menanggung kerugian kerana telah mengeluarkan modal RM10,000 bagi membeli stok bekalan bahan masakan dan peralatan jualan.
"Untuk dapatkan RM10,000 itu pun saya terpaksa gadai barang kemas. Selalunya selepas 15 hari berniaga barulah balik modal. Tetapi ini baru sahaja empat hari berniaga jualan pun tidak sampai RM4,000. Tak balik modal lagi.
"Sudah la tahun lepas tidak boleh berniaga di bazar akibat PKP (Perintah Kawalan Pergerakan). Ingatkan Ramadan tahun ini ingin cari rezeki lebih tetapi apakan daya kita terpaksa akur dengan arahan yang dikeluarkan," katanya yang telah enam tahun berniaga di bazar Ramadan tersebut.
Wanita berusia 42 tahun itu masih buntu dalam menghadapi situasi tersebut dan berharap agar tempoh penutupan sementara bazar itu dipendekkan supaya beliau bersama lebih 70 lagi peniaga yang lain dapat berniaga semula di situ.
-- BERNAMA
#Bazar Ramadan #Tok Adis #ditutup #penutupan #patuh SOP #prosedur operasi standard #COVID-19 #Jabatan Kesihatan Negeri Terengganu
;