Bazaar Amal Malaysia di Jakarta tarik ribuan pengunjung
Bernama
November 30, 2019 06:39 MYT
November 30, 2019 06:39 MYT
Program Bazaar Amal Malaysia yang julung kali diadakan di Kedutaan Besar Malaysia di Jakarta, bakal dijadikan acara tahunan dalam mempromosikan produk dan perkhidmatan Malaysia di Indonesia.
Duta Besar Malaysia di Indonesia Datuk Zainal Abidin Bakar berkata objektif utama program itu adalah untuk tujuan amal, namun ia turut menjadi platform dalam mempromosikan produk-produk dan perkhidmatan dari Malaysia.
"Program tahun ini juga selaras dengan usaha Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) yang menyasarkan 700 rangkaian francais Malaysia, beroperasi di Indonesia pada tahun 2020," katanya kepada pemberita di sini, pada Sabtu.
Program anjuran Persatuan Wanita Kementerian Luar Negeri (Perwakilan) Jakarta itu juga turut mempromosikan kebudayaan, produk-produk tempatan dan tempat pelancongan menarik di Malaysia, bersempena Tahun Melawat Malaysia 2020.
Menurut Ketua Perwakilan Jakarta, Datin Sakhiah Mohd Som, sebanyak 60 syarikat Malaysia dan Indonesia, menyertai program itu yang bermula jam 8 pagi hingga 5 petang ini.
"Hasil penjualan akan disalurkan kepada pusat kebajikan di Indonesia dan Malaysia," katanya.
--BERNAMA
#Bazaar Amal Malaysia
#Duta Besar
#francais
#Indonesia
#Jakarta
#jualan
#kebudayaan
#Kementerian Luar
#Malaysia
#pelancongan
#Perwakilan Jakarta
#produk tempatan
#pusat kebajikan
#Sakhiah Mohd Som
#Zainal Abidin Bakar