Bayi wanita koma dipukul suami dibenar bawa pulang
Sinar Harian
Disember 2, 2021 06:20 MYT
Disember 2, 2021 06:20 MYT
SEREMBAN: Bayi wanita koma yang dipukul suami, Jahidah Nordin, 43, kini telah dibenarkan pulang.
Bayi yang diberi nama Jihady Nasywan itu selamat dilahirkan Selasa lalu di Hospital Tuanku Jaafar (HTJ).
Berita gembira itu dikongsi adiknya Fazariah, 38, menerusi hantaran Facebooknya pada Khamis.
"Tiba-tiba dapat 'call' dari hospital baby dah boleh bawa balik... Ya Allah Alhamdulillah.
"Kakak tengah uruskan baby. Harap tiada apa-apa masalah kali ini," tulisnya.
Fazariah ketika dihubungi Sinar Harian berkata, dia masih menunggu perkembangan lanjut daripada kakaknya Fauziah yang kini sedang menguruskan anak saudara mereka untuk dibawa pulang.
Bagaimanapun katanya, Jahidah tidak dibenarkan keluar dari hospital kerana masih memerlukan pemantauan doktor.
"Tapi Alhamdulillah keadaannya stabil,"katanya.
Menurut Fazariah, keluarga ada memaklumkan kepada suami Jahidah bahawa bayi itu selamat dilahirkan
Katanya, keluarga tidak kejam untuk menyorokkan perkara itu kerana tahu itu haknya sebagai seorang bapa.
Sebelum ini Sinar Harian melaporkan keluarga wanita hamil yang parah dipukul suami sehingga koma memilih nama yang membawa maksud perjuangan, kegembiraan dan kejayaan untuk diberikan kepada bayi yang selamat dilahirkan di HTJ pada malam Selasa.
Adiknya, Fazariah Nordin, 38, berkata, keluarganya memilih nama yang membawa maksud itu kerana mempunyai perkaitan dengan tragedi hitam yang menimpa kakaknya.
*Berita asal di Sinar Harian