Bayi tiga bulan dilarikan dari rumah pengasuh
Bernama
Julai 3, 2018 00:01 MYT
Julai 3, 2018 00:01 MYT
Seorang bayi lelaki berusia tiga bulan hilang dipercayai dilarikan individu tidak dikenali dari rumah pengasuhnya di Taman Nakhoda, Batu Caves dekat sini, pada Selasa.
Bapanya Mohd Sufi Naeif Mohd Fauzi, 28 tahun, berkata kehilangan anaknya Adam Raikal dimaklumkan oleh isterinya Farah Madiha Othman, 28 tahun, kira-kira jam 7 malam.
"Isteri saya menghantar Adam Raikal ke rumah pengasuh pada pukul 12 tengah hari tadi kerana beliau ingin pergi bekerja.
Pada sebelah petang pengasuh memaklumkan kepada isteri yang anak saya telah diambil oleh seorang lelaki yang menyangka itu adalah saya... walhal saya belum mengambil anak dari rumah pengasuh," katanya ketika dihubungi pada malam Selasa.
Mohd Sufi Naeif berkata beliau belum pernah menjemput anaknya yang baharu seminggu dihantar ke rumah pengasuh berkenaan.
"Saya harap Adam Raikal dapat ditemui segera," katanya yang masih memberi keterangan kepada pihak polis setakat 11 malam Selasa.
Ketua Polis Daerah Gombak ACP Ali Ahmad ketika dihubungi mengesahkan kejadian itu.
"Polis sedang merakam percakapan ibu bapa bayi terbabit bersama pengasuhnya," katanya.
Mohd Sufi Naeif memuat naik gambar Adam di laman sosial miliknya meminta orang awam membantu mengesan anaknya itu.
-- BERNAMA