Bayi tiga bulan dibunuh bapa kandung

Adie Sufian Zulkefli
Oktober 11, 2022 19:16 MYT
Seorang bayi berusia tiga bulan dibunuh oleh bapanya hanya kerana anak itu menangis tidak mahu minum susu dalam kejadian di Kampung Sungai Lintang Teluk Jawa Mukim Padang Hang, Alor Setar.
ALOR SETAR: Seorang bapa tergamak membunuh anak yang baru berusia tiga bulan hanya kerana anaknya itu menangis tidak mahu minum susu dalam kejadian di Kampung Sungai Lintang Teluk Jawa Mukim Padang Hang, di sini.
Menurut ibu bayi terbabit yang hanya dikenali Kamalia, 22, dia yakin anak bongsunya itu mati ketika dalam jagaan suaminya.
Kamalia berkata, dia telah melarikan diri sejak 4 Oktober lalu akibat tidak tahan kerana seringkali dipukul dan meninggalkan anak-anak di rumah untuk dijaga oleh suaminya.
Menerusi perkahwinan kedua dengan suaminya pada 2019 itu, Kamalia dikurniakan sepasang cahaya mata iaitu anak perempuan berusia setahun dan mangsa yang juga bayi lelaki.
Sementara menerusi perkahwinan pertama, dia dikurniakan seorang anak perempuan berusia 6 tahun.
Malah Kamalia pernah menerima 27 jahitan di kepala akibat dipukul selain tangan dan peha ditikam dengan pisau serta mata dicungkil.
Susulan itu, dia membuat laporan polis sebelum menumpang di rumah saudaranya kerana takut dengan ugutan suami yang mahu membunuhnya.
Kamalia hanya dimaklumkan oleh polis mengenai kematian anak bongsunya itu serta tangkapan ke atas suaminya semalam.
“Suami mengamuk ketika ditahan oleh polis dan polis juga jumpa dadah dalam poket seluar suami dan terjumpa baby (mangsa) meninggal dunia di atas katil,” kata Kamalia kepada pemberita ketika ditemui di sini, hari ini.
Kamalia berkata, dia sangat terkejut sebaik dimaklumkan anak bongsunya itu ditemui meninggal dunia atas katil.
Dua lagi anak perempuannya kini diserahkan dalam jagaan keluarga mentua untuk sementara waktu.
Menurut Kamalia, dia tidak dapat memaafkan suaminya kerana perbuatannya sangat kejam sehingga sanggup membunuh anak sendiri.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kota Setar, Asisten Komisioner Ahmad Shukri Mat Akhir, ketika dihubungi memaklumkan, suspek ditahan di rumahnya pada pukul 1.50 tengah hari Isnin.
Katanya, ketika serbuan, polis menemui mayat seorang bayi lelaki di atas katil di dalam bilik.
Ahmad Shukri berkata, siasatan awal suspek mengaku memukul kepala, menampar muka serta memulas telinga mangsa kerana mendakwa bayi terbabit enggan minum susu dan kerap menangis.
Mayat bayi itu dihantar ke Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) untuk bedah siasat.
Hasil ujian saringan air kencing mendapati suspek berusia 28 tahun itu positif methamphetamine.
Suspek kini direman selama tujuh hari bermula hari ini hingga 17 Oktober bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.
#bayi tiga bulan #dibunuh bapa kandung #Mukim Padang Hang #Alor Setar
;