Bayi tidak cukup bulan dicampak dari tingkat 18
Astro Awani
Februari 29, 2016 13:42 MYT
Februari 29, 2016 13:42 MYT
Seorang bayi yang dilahirkan tidak cukup bulan telah dicampak dari tingkat 18 sebuah flat dekat Danau Kota di sini pagi tadi.
Bayi perempuan itu, yang dilahirkan kurang dari tujuh bulan, ditemui penduduk 9 pagi tadi dalam keadaan yang menyayat hati di tepi longkang flat berkenaan.
Pemeriksaan forensik mengesahkan bayi malang itu dilahirkan dalam tempoh 24 jam dan masih beruri.
Ketua Polis Wangsa Maju ACP Muhammad Roy Suhaimi Sarif mengesahkan kejadian berkenaan.
Menurutnya, polis juga sudah menahan seorang suspek wanita berusia 36 tahun sejurus selepas kejadian.
Wanita terbabit dikatakan ditinggalkan suami sejak dua tahun lalu dan kini menyewa sebuah bilik di salah sebuah unit di flat berkenaan bersama seorang anak perempuannya yang berusia lima tahun.
Kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.