Bayi tertukar di hospital swasta, ibu mahu ambil tindakan undang-undang
Agensi
Jun 13, 2021 21:16 MYT
Jun 13, 2021 21:16 MYT
KUALA LUMPUR: Kecewa dengan tindakan tidak bertanggungjawab pihak hospital, dua pasangan yang bayi mereka dikatakan tertukar di sebuah hospital swasta di Shah Alam berhasrat mengambil tindakan undang-undang.
Siti Suriani Wahiddin, 23, terkilan dan mendakwa pihak hospital menyerahkan bayinya kepada pasangan lain tanpa membuat pemeriksaan teliti.
"Saya melahirkan bayi lelaki pada 2.36 pagi Jumaat lalu dan diletakkan di bawah jagaan hospital. Pada 8.30 pagi, saya minta nak lihat bayi dan jururawat bawa masuk ke bilik. Saya menyedari wajah lain tapi tidak mengesyaki apa-apa kerana katil bayi tertera nama saya.
"Saya dibenarkan pulang ke rumah petang semalam. Kami menyedari bayi itu bukan anak kami ketika suami mahu memotong tanda nama pada kaki bayi itu dan mendapati ia milik wanita lain," kata Suriani seperti yang dilaporkan Harian Metro.
Suriani dan suami, Mohammad Syafiq Irfan Azman kemudian menghubungi hospital dan mereka diminta ke hospital itu untuk proses pertukaran semula bayi.
"Pagi ini saya ke hospital untuk pemeriksaan lanjut. Saya harap pihak hospital bertanggungjawab dan saya akan merujuk kes ini dengan peguam untuk tindakan susulan," katanya.
Kejadian itu tular di media sosial selepas Siti Suriani membuat perkongsian di Facebook (FB) Live bermula 7.40 malam tadi.
Sementara itu, seorang lagi ibu terbabit, Diana Hanani Abdullah, 23, turut kecewa dengan insiden itu yang menyebabkan emosinya terganggu.
Diana melahirkan bayi lelaki secara pembedahan di hospital sama pada 3.02 petang 10 Jun (Khamis) dan dibenarkan pulang ke rumah di Puncak Alam, Selangor, pada 12 tengah hari kelmarin.
"Saya hanya mengetahui bayi tertukar apabila pihak hospital menghubungi saya malam tadi. Saya sangat terkejut lalu minta suami ambil tanda nama anak yang sudah dibuang dalam bakul sampah dan mendapati tertera nama Siti Suriani.
"Kami terus ke hospital malam tadi. Proses pertukaran semula bayi berlaku dalam suasana penuh emosi kerana sudah menyayangi bayi dijaga seperti anak sendiri," katanya yang sudah membuat laporan polis.
#bayi
#shah alam
#ibu
#tertukar
#Siti Suriani
#tertukar bayi
#jamumall
#hospital swasta
#tindakan undang-undang