Bayi sembilan bulan, ibu antara tiga maut dalam kemalangan di Semporna
Ridzal Abdullah
Mei 12, 2024 09:00 MYT
Mei 12, 2024 09:00 MYT
SEMPORNA: Seorang ibu bersama bayi sembilan bulan dan seorang warga emas wanita maut dalam satu kemalangan melibatkan dua kenderaan di Batu 32 Jalan Semporna- Tawau, semalam.
Ketua Polis Daerah Semporna, Superintendan Mohd Farhan Lee Abdullah berkata kemalangan itu berlaku sekitar jam 6.50 petang Sabtu.
Menurut beliau, siasatan awal pihak polis mendapati kemalangan berlaku apabila pemandu Perodua Viva seorang lelaki berusia 31 tahun bersama lima penumpang dalam perjalanan dari Tawau menuju ke Semporna.
“Pemandu Perodua Viva hilang kawalan sebaik tiba di tempat kejadian, masuk ke laluan bertentangan dan bertembung dengan sebuah kereta jenis Toyota Avanza dipandu seorang lelaki 46 tahun dengan dua penumpang pelancong China yang dalam perjalanan dari arah Semporna menuju ke Tawau.
“Impak kedua kenderaan bertembung itu,seramai enam orang mangsa yang berada di dalam Perodua Viva dikeluarkan dari kenderaan oleh pasukan bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Semporna serta orang awam,” kata beliau dalam kenyataan yang dikeluarkan hari ini.
Farhan memberitahu, pemandu Viva serta lima penumpang parah telah dikejarkan ke Unit Kecemasan Hospital Semporna sementara pemandu Toyota Avanza lelaki berusia 46 tahun serta dua penumpang warga China masing-masing berusia 24 tahun hanya cedera ringan
Beliau berkata, tiga penumpang Perodua Viva disahkan meninggal dunia ketika menerima rawatan lanjut di Wad Kecemasan Hospital Semporna.
“Penumpang viva yang meninggal adalah bayi perempuan sembilan bulan, seorang wanita 24 tahun dan warga emas wanita berusia 66 tahun,”
“Manakala pemandu Perodua Viva dan dua lagi penumpang kanak-kanak lelaki dan perempuan berusia 7 dan 10 tahun mengalami cedera parah,”
“Pemandu Toyota Avanza dibawa ke trafik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Semporna untuk siasatan lanjut,manakala dua pelancong China itu meneruskan perjalanan ke balik ke negara asal,”katanya.
Kes ini disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.