Bayi perempuan masih bertali pusat ditemukan di timbunan sampah

Umavathi Ramayah
Mei 2, 2023 18:48 MYT
Bayi itu ditemukan dalam keadaan berbalut kain kuning dan bertali pusat serta uri masih bersamanya, di tempat timbunan sampah ini. - PDRM
KUALA LUMPUR: Seorang bayi perempuan dipercayai baru dilahirkan ditemukan dalam keadaan masih bertali pusat dan uri di timbunan sampah berhampiran Jalan Masjid, Sungai Kayu Ara, di sini pada Isnin.
Ketua Polis Daerah Petaling Jaya Asisten Komisioner Mohamad Fakhrudin Abdul Hamid berkata, polis menerima laporan kira-kira pukul 7.15 pagi berhubung penemuan bayi yang baru dilahirkan itu daripada seorang wanita dan anak lelakinya yang kebetulan melalui kawasan itu.
Menurutnya, dua beranak yang menjumpai bayi berkenaan membawa bayi ke Balai Polis Damansara untuk tindakan lanjut.
"Bayi itu ditemukan dalam keadaan berbalut kain kuning dan bertali pusat serta uri masih bersamanya," katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurutnya, ketika ditemukan bayi seberat 2.5 kilogram (kg) itu mempunyai kesan kemerah-merahan di pipi sebelah kiri.
Bayi itu katanya dibawa ke Hospital Sungai Buloh untuk menerima rawatan dan disahkan berada dalam keadaan stabil.
"Bayi berketinggian 49 sentimeter (cm) itu dimasukkan ke wad kanak-kanak Hospital Sungai Buloh.
Beliau memberitahu kes itu disiasat mengikut Seksyen 317 Kanun Keseksaan kerana membuang bayi.
Seksyen itu memperuntukkan hukuman penjara maksimum tujuh tahun atau dengan denda atau kedua-duanya sekali, jika sabit dengan kesalahan.
Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat boleh menhubungi Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Petaling Jaya di talian 0379662222 atau mana-mana balai berhampiran.
#bayi #timbunan sampah #Sungai Kayu Ara #polis
;