Bayi perempuan ditemui dibuang dalam kotak di kebun sawit
Aira Abdul
Januari 6, 2021 18:06 MYT
Januari 6, 2021 18:06 MYT
BERA: Seorang bayi perempuan yang masih hidup ditemui ditinggalkan dalam keadaan kesejukan di dalam kotak di kebun kelapa sawit berhampiran Pejabat Risda Kemayan di sini, pada Rabu.
Difahamkan, bayi berkenaan ditemui seorang lelaki yang kebetulan melalui kawasan itu untuk memancing di sungai berhampiran kira-kira jam 1.50 tengah hari.
Ketua Polis Daerah Bera, Deputi Superintendan Mansor Samsudin berkata, polis menerima laporan mengenai penemuan itu daripada orang awam dan segera menghantar anggota ke lokasi kejadian.
"Apabila polis sampai di tempat kejadian iaitu di tepi sebuah kebun sawit, kita mendapati bayi itu yang diletakkan di dalam kotak masih hidup.
"Polis memaklumkan kepada pihak Klinik Kesihatan Kemayan dan bayi berkenaan kemudian dibawa ke klinik itu untuk pemeriksaan lanjut," katanya di sini, pada Rabu.
Menurutnya kes itu disiasat mengikut Seksyen 317 Kanun Keseksaan kerana menyembunyikan kelahiran dengan niat membuang bayi.
Katanya, polis sedang giat menyiasat lanjut kes itu untuk mengenal pasti individu yang bertanggungjawab membuang bayi berkenaan.
#buang bayi
#dalam kotak
#bayi perempuan
#kebun sawit
#kesejukan
#Bera
#polis
#Mansor Samsudin
#pemancing
#Memancing
#Sungai