Bayi perempuan ditemui di luar pintu hospital swasta

Bernama
April 14, 2021 21:06 MYT
Bayi tersebut kemudian dihantar ke Hospital Sultanah Aminah (HSA) dan kini ditempatkan di wad kanak-kanak untuk pemantauan. - PDRM
JOHOR BAHRU: Seorang bayi perempuan dipercayai berusia kira-kira 14 hari ditemukan ditinggalkan di luar pintu sebuah hospital swasta di Jalan Abdul Samad di sini malam tadi.
Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan ACP Mohd Padzli Mohd Zain berkata bayi itu ditemui seorang penyambut tetamu yang bertugas di lobi hospital berkenaan pada jam 8.45 malam.
Sebelum itu, lelaki berkenaan mendengar tangisan bayi lalu bertindak menjejakinya sebelum menjumpai bayi itu di pintu keluar hospital terbabit.
"Lelaki itu terus memaklumkan penemuan tersebut kepada ketua jururawat yang bertugas. Pemeriksaan oleh ketua jururawat mendapati bayi tersebut diletakkan di atas lantai, lengkap berpakaian serta tiada sebarang dokumen pengenalan diri.
"Turut dijumpai pada bayi tersebut ialah satu tangkal dipercayai kepercayaan kaum Cina," kata beliau dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Mohd Padzli berkata bayi tersebut kemudian dihantar ke Hospital Sultanah Aminah (HSA) dan kini ditempatkan di wad kanak-kanak untuk pemantauan.
Tambahnya, berdasarkan rakaman kamera litar tertutup hospital itu, terdapat seorang wanita yang sedang menggendong bayi dilihat berjalan di sekitar kawasan hospital namun tiada sebarang rakaman jelas di mana bayi berkenaan ditinggalkan.
Sehubungan itu, polis memohon kerjasama orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kes tersebut supaya menghubungi terus talian hotline Ibu Pejabat Polis Johor Bahru Selatan 07-2182323 atau Pegawai Penyiasat Inspektor Amy Dahlia Abdul Rahman di talian 014-6833881.
-- BERNAMA
#bayi perempuan #ditinggalkan #dibuang #depan pintu #hospital swasta #Johor Bahru #tangkal #atas lantai #CCTV
;