Bayi perempuan 46 hari meninggal dunia turut digigit di pipi dan badan
Dewi Nur Harasha Alias
Februari 17, 2018 16:40 MYT
Februari 17, 2018 16:40 MYT
Mayat bayi malang berusia 46 hari yang meninggal dunia dipercayai didera oleh ibu bapa kandungnya kini masih ditempatkan di Unit Forensik Hospital Seberang Jaya bagi membolehkan pakar pergigian menjalankan pemeriksaan lanjut.
Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah (SPT) ACP Nik Ros Azhan Nik Abd Hamid berkata, perkara itu berikutan terdapat beberapa kesan gigitan di pipi serta badan bayi malang yang dikenali sebagai Nurul Ain Umairah.
"Mayat bayi itu masih lagi di Unit Forensik HSJ kerana pakar pergigian akan menjalankan pemeriksaan berikutan terdapat beberapa kesan gigitan di pipi serta badan bayi malang berkenaan," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Dalam pada itu, Nik Ros Azhan menambah, beberapa saksi termasuk ahli keluarga bayi perempuan itu telah dirakam percakapan bagi membantu siasatan.
Kata beliau, turut akan dipanggil bagi membantu siasatan adalah jiran tetangga keluarga mangsa.
"Untuk pengetahuan kita masih menjalankan siasatan bagi mengenal pasti motif sebenar ibu bapa kandung bayi malang itu mendera mangsa hingga mengalami kecederaan dalaman dan luaran termasuk pendarahan di kepala," katanya.
Nurul Ain Umairah, meninggal dunia dipercayai didera dalam kejadian di Kampung Tok Panjang selepas mengalami kecederaan teruk termasuk pendarahan dalam kepala serta otak pada Khamis.
Bapanya yang berusia 22 tahun mendakwa anak perempuannya enggan meminum susu dan berada dalam keadaan lemah meninggal dunia ketika dalam perjalanan untuk mendapatkan rawatan di Hospital Seberang Jaya kira-kira jam 10.45 pagi.
Berikutan itu polis menahan ibu bapa bayi berkenaan dan mereka direman selama tujuh hari bermula pada semalam bagi membantu siasatan menurut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001.
#bayi
#Bukit Mertajam
#dera
#gigitan
#Hospital Seberang Jaya
#ibu bapa
#Nik Ros Azhan Nik Abd Hamid
#Nurul Ain Umairah
#Unit Forensik