Bayi melecur seluruh badan didakwa tersalah dos suntikan
Astro Awani
Mac 1, 2014 13:01 MYT
Mac 1, 2014 13:01 MYT
Akibat tersalah dos suntikan seorang bayi lapan bulan terpaksa menaggung keperitan apabila seluruh tubuhnya tiba-tiba melecur selepas mengambil ubat ruam dari sebuah klinik swasta di Alor Setar.
Keadaan itu menyebabkan Muhammad Nasrullah Khairul Nizam, menangis siang dan malam menahan kesakitan pada bahagian kulit terutama di bahagian belakang dan perut.
Menurut bapa bayi malang itu, Khairul Nizam Lebai Jusoh, 41, pada mulanya anaknya mengalami ruam biasa di bahagian kelangkang dan perut lalu membawa anaknya ke sebuah klinik swasta di pusat bandar pada 16 Februari lalu.
Setelah selesai membuat pemeriksaan, doktor memberi ubat sapu dan ubat makan sebelum mereka pulang ke rumah di Jalan Stadim, Alor Setar.
“Badan dan kaki anak saya secara tiba-tiba naik bengkak selepas makan ubat yang diberi oleh klinik swasta itu. Kemudian saya pun bawanya ke hospital kerajaan dan saya dimarahi oleh pihak hospital kerana lambat membawanya anaknya ke situ untuk rawatan,” kata Khairul Nizam.
Bimbang ia akan melarat Khairul dan isteri, Nur Shazira Mohd Salleh, 23, membawa bayi mereka ke Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) pada 24 Februari untuk mendapat rawatan selanjutnya.
Doktor pakar di HSB memaklumkan kepada beliau, ubat yang diberikan klinik tersebut tidak sesuai kerana anaknya itu mengalami alahan kulit dan sepatutnya doktor itu perlu membuat pemeriksaan yang teliti terlebih dahulu.
Sementara itu menurut isterinya, Nur Shazira, kehidupan mereka sekeluarga yang bahagia dan penuh keceriaan tiba-tiba di himpit kegelisahan kerana memikirkan kesihatan anaknya itu.
Namun beliau berharap anaknya itu pulih seperti sedia kala kerana tidak sanggup lagi melihat keperitan yang dialaminya.
Ekoran kejadian itu, Khairul Nizam yang bekerja sebagai penyelia di sebuah stesen minyak di Alor Setar, kerapkali mengambil cuti semata-mata kerana terpaksa memberi sepenuh perhatian kepada anaknya.
Bimbang perkara itu akan terjadi kepada anak orang lain kerana sifat tidak bertanggungjawab doktor klinik swasta itu, beliau kemudiannya membuat laporan polis, di Balai Polis Kota Setar pada 27 Februari lalu bagi membolehkan pihak polis menjalankan siasatan samada terdapat unsur kecuaian.
Khairul Nizam berkata beliau akan mengambil tindakan undang-undang sekiranya anaknya itu tidak sembuh seperti sedia kala.